AVEIRO, Portugal – Cristiano Ronaldo meledak dua gol di babak kedua ketika membantu Portugal menewaskan Ireland 3-0 dalam aksi persahabatan terakhir sebelum Euro 2024.
Perlawanan yang mungkin menjadi aksi terakhir Ronaldo di laman sendiri itu menyaksikan tuan rumah mendahului permainan pada minit ke-18 menerusi Joao Felix.
Empat minit kemudian, Ronaldo hampir menambah jaringan tetapi percubaannya tersasar.
Pemain 39 tahun itu bagaimanapun tidak mensia-siakan peluang di awal babak kedua dengan melencongkan bola untuk gol kedua Portugal dan menambah jaringan pada minit ke-60 untuk gol ke-130nya dalam 207 penampilan antarabangsa.
Ronaldo, yang membuat penampilan sulung di Euro pada tahun 2004 dan menjuarainya pada edisi 2016, dilaporkan akan bersara selepas kejohanan di Jerman tahun ini, tetapi rakan sepasukan, Ruben Neves berkata pemain itu masih mempunyai peranan dalam pasukan.
“Sangat luar biasa. Saya tidak ada kata-kata untuk menggambarkan bagaimana perasaan saya dapat bermain dengannya.
“Dua lagi gol hari ini, dia menamatkan aksi pemanas badan Euro dengan baik, jadi harapan sangat tinggi.
“Kami tahu dia akan memberikan 200 peratus untuk membantu pasukan kebangsaan, dan kami sudah pasti mengharapkannya dia akan terus menjaringkan gol,” kata Neves.
Portugal memulakan kempen Kumpulan F Euro 2024 dengan menentang Republik Czech di Leipzig sebelum berdepan Turkiye dan Georgia. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252