KOTA KINABALU – Polis menafikan dakwaan dalam video yang tular di media sosial kononnya bertindak membakar rumah setinggan yang terletak bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian menyebabkan 26 rumah setinggan terbakar itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Katanya, rumah yang terbakar itu telah dijadikan satu-satunya punca untuk penyambungan banyak kabel bekalan elektrik ke kediaman lain.
“Ketika itu polis berada antara 50 hingga 60 meter di belakang lokasi berkenaan dan anggota kami tidak terlibat di kawasan punca kebakaran.
“Malah, kebakaran ini juga tidak ada kena mengena dengan kawasan liputan operasi kami membanteras pendatang haram dan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Kasim, polis telah membuat panggilan kecemasan melaporkan kebakaran itu sebelum anggota Bomba dan Penyelamat sampai pada jam 12.59 tengah hari untuk kerja pemadaman.
“Saya minta pihak berkenaan memadamkan video tular itu kerana ia mengelirukan orang ramai serta semua pihak perlu berhati-hati berkongsi maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya,” kata beliau.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan 12 anggota dari BBP Kota Kinabalu berjaya mengawal kebakaran itu pada jam 2 petang.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan. Pasukan penyiasat masih di lokasi dan mengalami sedikit kelewatan kerana masih terdapat kabel elektrik yang disambung secara haram,” katanya.
Beliau berkata, atas faktor keselamatan, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) menasihatkan supaya anggota berhati-hati kerana terlalu banyak penyambungan eletrik haram di lokasi kejadian. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252