Tajuk Utama

    Petani, pesawah layak terima subsidi diesel – Mohamad

    NIBONG TEBAL – Petani khususnya pesawah tidak akan terkesan dengan langkah penyasaran subsidi diesel kerana mereka layak menerima subsidi berkenaan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

    Mengakui wujud kekeliruan berhubung pemberian subsidi diesel dalam kalangan petani, beliau berkata, kementeriannya akan turun padang memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

    “Subsidi diesel sedang berjalan, semua petani yang menggunakan diesel diberikan subsidi… pendaftaran sedang berjalan, saya yakin kekeliruan dan salah faham ini akan berlaku dalam masa sebulan dua ini sahaja,” katanya di sini hari ini.

    Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas program libat urus bersama pemimpin peladang Pulau Pinang sempena Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tasek di sini.

    Beliau menjelaskan, penyasaran subsidi diesel itu bukan bermaksud subsidi ditarik balik, sebaliknya ia diberikan secara bersasar kepada golongan yang layak.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, penyasaran subsidi diesel dilaksanakan untuk memastikan diesel tidak diberi kepada golongan maha kaya dan orang asing.

    Sementara itu, Mohamad berkata, sesi libat urus berkenaan antara komitmen kementeriannya dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara untuk lebih berdaya tahan dan mampan.

    Beliau berkata, tahun ini KPKM telah memperuntukkan RM3.2 juta merangkumi lima projek sambungan untuk Pulau Pinang melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

    “Peruntukan pembangunan di bawah LPP itu memberi manfaat kepada enam PPK seluruh Pulau Pinang melibatkan 20,301 ahli peladang,” katanya.

    Beliau berharap bajet pembangunan itu akan menyuntik semangat petani dan peladang di Pulau Pinang untuk terus memainkan peranan proaktif dalam merencanakan industri pertanian dan agromakanan. – BERNAMA

     

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *