Mesyuarat MPT sudah putuskan status tujuh wakil rakyat sokong PM

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mencapai kata putus berhubung kedudukan enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan status mereka diputuskan Jumaat lalu dengan tindakan susulan diserahkan kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Bagaimanapun, kenyataan itu yang memetik Hamzah sebagai berkata, tidak menyebut atau mendedahkan sebarang bentuk tindakan yang bakal diambil ke atas bekas tujuh wakil rakyat Bersatu itu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan kerajaan.

Menurutnya, mesyuarat MPT juga bersetuju melantik Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya, manakala Abdullah Omar Bledram Ketua Bahagian (Penaja) Labuan.

MPT juga mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu yang sebulat suara memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden bagi pemilihan akan datang.

Selain itu kata Hamzah, mesyuarat turut membincangkan banyak perkara melibatkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api oleh kerajaan serta senario semasa politik negara yang meresahkan.

“Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan pada pemilihan Oktober ini dan calon-calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan itu perlu membuat permohonan kepada MPT selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Hamzah memaklumkan mesyuarat turut memutuskan tarikh-tarikh persidangan iaitu peringkat cawangan bermula 20 Julai hingga 31 Ogos, bahagian (12 – 26 Oktober), Perhimpunan Agung Sayap, Bersekutu dan Srikandi Muda (28 November), Perhimpunan Agung Sayap, Armada dan Srikandi (29 November). – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *