BERITA UTAMA
PRK Sungai Bakap: PN umum calon 15 Jun - Sanusi

PRK Sungai Bakap: PN umum calon 15 Jun – Sanusi

KUALA NERANG – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan gabungan parti itu akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 15 Jun ini. 


Menurut Menteri Besar Kedah itu, PN juga akan melancarkan jentera pilihan raya malam ini yang mana beliau akan bertindak sebagai Pengarah Operasi PN PRK bagi DUN berkenaan.

Kata beliau, pihaknya juga tidak memandang mudah cabaran yang akan diberikan calon daripada Kerajaan Perpaduan memandangkan gabungan parti-parti yang terlibat sudah semestinya mahu membuktikan dasar yang dibawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diterima rakyat. 



“Calon kita akan diumumkan pada 15 Jun, sebelum Raya Haji yang jatuh pada 17 Jun, 15 Jun kita umum, insya-Allah,” katanya. 


Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Kayuhan Amal The Greater Kedah 2024 di Masjid Kampung Musa, Padang Terap pada Sabtu. 


Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan persiapan akan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh terutama dalam memastikan sokongan daripada lebih 17,000 pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu di DUN berkenaan dapat dikekalkan. 


Terdahulu, Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang minggu depan. 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan membuat pengumuman itu selepas berbincang dengan anggota komponen Kerajaan Perpaduan yang mana setakat ini, kepimpinan bersetuju untuk meletakkan calon dari PKR. 


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini. 


Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *