BERITA UTAMA
Lagi mesin ATM beroperasi di bangunan penginapan jemaah Malaysia

Lagi mesin ATM beroperasi di bangunan penginapan jemaah Malaysia

MEKAH – Sebuah lagi kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berjaya mendapat kerjasama Bank Alinma dan kelulusan Bank Negara Arab Saudi (SAMA) untuk beroperasi bagi ditempatkan di bangunan penginapan jemaah haji negara di Tanah Suci, lapor wakil AWANI di Makkah.

Mesin ATM Bank Alinma itu mula beroperasi di Land Premium Hotel, sekali gus memberi kemudahan kepada 7,710 jemaah yang menginap di situ dan hotel berdekatan.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, SAMA dan pihak bank di Arab Saudi sebelum ini tidak pernah memberi kebenaran untuk menempatkan mesin ATM di bangunan penginapan khusus bagi jemaah sesebuah negara.

Beliau berkata, kemudahan itu penting berikutan jemaah di Land Premium dan bangunan penginapan berhampiran terpaksa berjalan hampir satu kilometer untuk mendapatkan perkhidmatan mesin ATM di lokasi terdekat.

“Dalam permohonan dikemukakan sebelum ini, pihak TH menekankan bahawa kebanyakan jemaah adalah golongan sudah lanjut usia dan berdepan kesulitan untuk bergerak jauh mencari perkhidmatan mesin ATM.

“TH juga menjelaskan dari segi usaha untuk mengelak jemaah terlalu terdedah kepada cuaca panas terik apabila terpaksa berjalan jauh ke lokasi perkhidmatan mesin ATM yang terdekat,” katanya berucap di majlis perasmian mesin ATM di Land Premium, Mekah, semalam.

Mesin ATM yang sedia ada ialah di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji Mekah, Abraj Al-Jenadriyah, yang memberi manfaat kepada 7,528 jemaah. Begitu juga ATM yang terletak di Zon C di kawasan Hafaer, di mana ia akan beroperasi di Rehab Al-Janadriyah, memanfaatkan 3,116 jemaah.

Beliau turut sifatkan pencapaian berkenaan juga adalah hasil hubungan baik antara Malaysia dengan Bank Alinma, selain pihak SAMA memberi kelulusan selepas melihat peraturan, persediaan dan pengawalan oleh Malaysia adalah memuaskan.

Malah, Syed Saleh berkata, pihak TH dan Bank Islam sudah berunding serta mencapai persetujuan bersama bahawa jemaah haji tidak perlu membayar sebarang caj apabila membuat transaksi pengeluaran wang menggunakan mesin ATM itu, sebaliknya ia akan ditanggung oleh Bank Islam pada musim haji.

Dalam sidang media kemudiannya, beliau yang juga Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji berkata, pihak Lembaga Tabung Haji tidak bercadang untuk mewajibkan penggunaan kad debit ATM kepada jemaah yang akan menggunakan perkhidmatan di tiga mesin ATM yang ada.

“Kita tidak akan mewajibkan, sebaliknya kita menggalakkan penggunaannya, memandangkan banyak manfaat boleh dinikmati oleh jemaah jika memiliki kad dan menggunakan perkhidmatan mesin ATM ini.

“Jika ada kad ini, pengeluaran boleh dibuat sedikit-sedikit, boleh buat pengeluaran pada bila-bila masa dan paling penting tidak perlu jalan jauh untuk mengeluarkan wang. Ini sesuatu yang memudahkan warga emas dan jemaah yang kurang berdaya untuk berjalan jauh.

“Lebih penting sebenarnya, jemaah atau pengguna kad ini tidak perlu membayar sebarang caj setiap kali pengeluaran dibuat, tidak seperti kad-kad lain atau kad kredit,” ujar beliau.

Kuota jemaah haji Malaysia tahun ini yang diberikan oleh Arab Saudi sama seperti tahun lepas iaitu 31,600 orang, di mana sebahagian besar daripada mereka sudah berada di Mekah untuk menumpukan kepada ibadat haji masing-masing.

Penerbangan akhir dari Kuala Lumpur memasuki Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King AbdulAziz di Jeddah sebelum ke Mekah untuk operasi haji musim ini pada 9 Jun ini. – AWANI

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *