BERITA UTAMA

Maya Karin tidak takut ‘tenggelam’

KUALA LUMPUR: Bukan populariti dikejar, sebaliknya, perjuangan aktres kacukan Melayu-Jerman, Maya Karin, 44, dalam bidang seni didorong minat mendalam.

Lantaran itu, Aktres Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-48 di Fukuoka, Jepun ini tidak kisah andai wajahnya lama tidak muncul di layar perak.

Maya pernah hampir empat tahun tidak beraksi di depan kamera kerana tiada skrip sesuai dengan jiwanya.

Namun, katanya, situasi itu tidak langsung membimbangkan andai dirinya kian dilupakan peminat.

“Saya pernah empat tahun tidak berlakon selepas filem Munafik hanya kerana tidak berpuas hati dengan skrip.

“Saya tidak pernah meletakkan kuota perlu berlakon sejumlah filem dalam tempoh setahun. Ini kerana saya memilih naskhah sesuai dengan jiwa.

“Saya hendak peminat kenal Maya sebab lakonan. Saya berlakon bukan hendak kejar populariti, sebaliknya, saya cintakan dunia seni.

“Orang yang betul-betul ikhlas takkan takut tenggelam. Lagipun, banyak filem lakonan saya ditayangkan semula setiap kali perayaan. Jadi, peminat pasti mengingati saya,” katanya yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem The Experts di sini, baru-baru ini.

Membawakan watak Miranda, Maya teruja menjayakan babak menari tango dalam filem arahan Andre Chew dan Nazim Shah itu.

Maya berkata, biarpun tidak tahu menari tango, tetapi, sejak kecil dia dan adik-beradik sudah didedahkan dengan tarian tradisional Indonesia, jadi lebih mudah untuk menyesuaikan diri.

Namun, katanya, apa yang mencabar apabila perlu bergandingan dengan Remy Ishak yang tiada asas tarian.

“Memang agak mencabar sebab Remy tiada asas menari. Minggu pertama kami ikuti kelas, saya bimbang babak menari tango tak berjaya kerana Remy agak keras.

“Lagipun, tak mudah sebab kami kena pastikan tidak banyak buat salah. Kalau setakat menari untuk suka-suka tidak mengapa jika tersalah gerak tari.

“Tetapi, kami tidak boleh buat kesilapan supaya tidak susahkan orang lain jika terpaksa ‘shoot’ semula. Bagaimanapun, kami akhirnya berjaya juga selesaikan babak ini dengan baik tanpa pelakon ‘stand-in’,” katanya. – ND

Kredit Serimah Mohd Sallehuddin Berita Harian

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *