BERITA UTAMA

Polis siasat anggota tentera bergaduh di stadium

LUMUT – Polis menjalankan siasatan insiden pergaduhan membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian jam 7.15 malam itu, lelaki berusia 26 tahun cedera di muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala akibat dipukul beramai-ramai.

Menurutnya, mangsa diserang ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara unit Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL).

“Mangsa mendakwa penyokong PASKAL dalam stadium memukulnya secara beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.

“Dakwa mangsa, pemukul menuduh dia menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka, sedangkan mangsa tidak berbuat demikian.

“Mangsa yang cedera di muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Berita Harian, hari ini.

Mohamed Nordin berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 12.53 tengah hari, Selasa lalu.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan agar membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.

Video pergaduhan berdurasi 17 saat tular di media sosial sejak Selasa, memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota TLDM tolak-menolak di luar pekarangan Stadium TLDM Lumut. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *