BERITA UTAMA

Jenazah Sarjan Faridah selamat diterbangkan ke Kedah

SUBANG – Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman selamat diterbangkan ke Pendang, Kedah menggunakan pesawat TUDM kira-kira jam 7.04 pagi ini.

Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di Pangkalan Udara Subang jam 4.56 pagi daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jenazah disembahyangkan di Surau Al-Muhajirin, Pangkalan Udara Subang selepas selesai solat Subuh.

Jenazah Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam itu disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir sebelum diterbangkan menggunakan pesawat TUDM C-130H Hercules.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim turut bersama-sama menunaikan solat jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Faridah.

Terdahulu, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lalu.

Keputusan awal bedah siasat telah diperoleh pada 20 Mei lalu mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat cardiopulmonary arrest due to myocardial ischemia/thrombosis atau serangan sakit jantung,

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, ia berasaskan keputusan bedah siasat Allahyarham yang dijalankan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan.

Majlis Penghormatan jenazah Allahyarham Faridah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri pada Khamis.

Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL.

Majlis tersebut dihadiri Komander UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yaacob; Panglima 5 Briged (LAF), Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh; Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.

Markas Angkatan Bersama memaklumkan, upacara dimulakan dengan pengurniaan pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (Gangsa) kepada Allahyarham Faridah. – Sinar Harian

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *