BERITA UTAMA

TMK 2024: Kelantan tarik pelancong menerusi program B2B

KOTA BHARU – Program Business to Business (B2B) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan menerusi agensi pelancongan negeri dilihat memberi impak positif kepada kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, setakat ini program B2B berkenaan melibatkan kerjasama antara agensi pelancongan Kelantan dengan lebih 50 agensi pelancongan di seluruh negara.

Beliau berkata, jalinan kerjasama itu memberi impak positif apabila Kelantan menerima rombongan pelancong dari luar negara hampir setiap minggu termasuk dari Kuwait, Indonesia, Brunei, Singapura dan lain-lain negara.

“Kedatangan pelancong ke negeri ini secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada industri pelancongan negara khususnya melalui pembangunan ekonomi hiliran dan kreatif,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

“Kami juga sedang giat mempromosikan Kelantan di pintu utama di lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara dan berhasrat dapat menarik lebih ramai pelancong termasuk dari luar Kelantan,” tambahnya.

Kamaruddin berkata, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, antaranya himpunan Volkswagen Antarabangsa yang akan diadakan di Tumpat bermula hari ini sehingga Ahad ini, selain Pesta Wau Antarabangsa pada 27 dan 29 Jun di Pantai Geting, Tumpat.

“Pelbagai aktiviti menarik telah diatur hingga hujung tahun ini antaranya Karnival Masakan Resipi Istana di Istana Jahar pada Disember ini.

“Diharapkan dengan pelbagai aktiviti ini ia dapat mengangkat seni dan kebudayaan Kelantan, sekali gus negeri mencapai kejayaan sasaran seramai 10 juta pelancong ke negeri ini,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *