BERITA UTAMA

Pan Gon hilang tiga tonggak utama menjelang pertemuan Kyrgystan, Taiwan

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya, Kim Pan Gon berdepan tugas sukar apabila kehilangan tiga tonggak utama menjelang baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

Tiga pemain itu ialah pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi dan Mohamad Faisal Abdul Halim serta penyerang Romel Morales.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam menyebut ketiga-tiga mereka bersama seorang lagi pemain pertahanan kiri, Muhammad Azam Azmi Murad terpaksa diketepikan daripada dipanggil ke kem latihan pusat pasukan bermula Isnin ini kerana masalah kecederaan.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim dilaporkan terpaksa berehat panjang susulan kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, penyerang pinjaman Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad bersama pemain tengah pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhamad Feroz Baharudin kembali dipanggil ke kem kebangsaan.

Mereka antara lapan pemain baharu disenaraikan Pan Gon yang mengekalkan 16 daripada 24 pemain dari skuad terdahulu bagi dua aksi kumpulan menentang Oman, Mac lalu.

Dalam pada itu pertahanan kiri Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op berpeluang membuat debut antarabangsa apabila turut dipanggil ke kem latihan pusat, manakala pemain tengah kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine menjadi pemain tunggal Selangor FC yang memperkuatkan pasukan negara kali ini.

Sementara itu, FAM turut mengesahkan 22 pemain lagi diletakkan dalam senarai bersedia.

Selepas empat perlawanan, Malaysia yang berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata akan menentang Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun sebelum bertemu Taiwan pada aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini pada 11 Jun.

Kyrgyzstan kini menerajui saingan Kumpulan D diikuti Oman di tempat kedua dengan masing-masing mengumpul sembilan mata.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Jun, sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Pasukan negara memerlukan tiga mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir sambil mengharapkan Oman menumpaskan Kyrgyzstan untuk mencerahkan peluang mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta melayakkan diri lebih awal ke Piala Asia 2027. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *