Pemimpin dunia ucap takziah pemergian Presiden Iran Ebrahim Raisi

NEW DELHI – Pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah dan menzahirkan kesedihan mereka atas pemergian Presiden Iran Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter di barat laut Iran semalam.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam ucapan takziahnya, mengumumkan hari berkabung selepas Iran mengesahkan kematian Raisi, 63; Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian dan pegawai lain dalam nahas itu.

“Saya bersama kerajaan dan rakyat Pakistan menyampaikan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada negara Iran atas kehilangan besar ini. Semoga roh-roh yang syahid ditempatkan di syurga. Rakyat Iran yang hebat akan mengatasi tragedi ini dengan keberanian yang biasa mereka tunjukkan,” kata Shehbaz.

“Pakistan berbesar hati dapat menerima kunjungan Presiden Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian dalam lawatan bersejarah kurang sebulan lalu. Mereka adalah sahabat baik Pakistan,” katanya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam mesej takziahnya mengingati sumbangan Allahyarham Presiden dalam memperkukuhkan hubungan India-Iran.

“Ucapan takziah ikhlas saya kepada keluarganya dan rakyat Iran. India berdiri bersama Iran dalam masa kesedihan ini,” kata Modi.

Kedutaan Iran di New Delhi menggambarkan Raisi sebagai “penyokong orang-orang tertindas di dunia”.

Tragedi ini turut diratapi di Maldives dan seluruh Asia Selatan.

“Saya berdoa kepada Allah SWT agar memberkati roh Presiden Raisi, Menteri Luar Abdollahian, dan lain-lain yang kehilangan nyawa dalam kejadian malang ini dan memberikan mereka Syurga Firdaus. Ingatan dan doa kami bersama keluarga yang berduka dan rakyat Iran dalam waktu kesedihan yang mendalam ini,” kata Presiden Maldives, Mohamed Muizzu.

Menteri Luar Maldives, Moosa Zameer berkata, Raisi adalah “seorang pemimpin berdedikasi yang akan diingati kerana kebijaksanaannya dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk kemajuan Iran dan rakyatnya” dan memanggil Abdollahian “penyokong setia hubungan baharu antara Maldives dan Iran”.

“Sri Lanka sangat terkejut dan sedih dengan kematian tragis Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Amir Abdollahian dan pegawai kanan Iran yang lain,” kata Presiden Ranil Wickremesinghe dalam ucapannya.

Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry meluahkan rasa terkejutnya mengenai insiden itu.

“Saya mengingati banyak lawatan dan pertemuan dua hala antara negara kita serta lawatan Presiden Raisi ke Sri Lanka bulan lepas,” katanya.

Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat dan kerajaan Iran dalam hantarannya di X.

“Saya menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian dan mereka yang menyertainya selepas kemalangan tragis ini.

Kami berdoa agar Allah memberikan mereka istirehat abadi dan kami bersimpati kepada keluarga mereka. UAE berdiri bersama Iran pada masa sukar ini,” katanya.

Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, dalam satu hantaran di X berkata, “EU menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Presiden Raisi dan Menteri Luar Abdollahian, serta anggota delegasi dan kru mereka dalam kemalangan helikopter. Ingatan kami bersama keluarga mereka”.

Kematian Raisi, Amirabdollahian kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam – Mohamad

Kematian Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya, Dr Hossein Amirabdollahian dalam nahas helikopter semalam merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat negara Iran, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, beliau berdukacita dengan berita pemergian Raisi, Amirabdollahian serta penumpang lain dalam nahas helikopter itu yang terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Mohamad berkata, kali terakhir beliau bertemu Amirabdollahian ialah semasa Debat Terbuka peringkat Menteri Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Januari lalu dan dalam perbualan telefon bersama beliau pada hujung bulan April yang lalu.

“Allahyarham begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran di dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran,” katanya dalam hantaran di platform X.

“Doa saya agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” tambah beliau.

Raisi dilaporkan sedang dalam penerbangan pulang daripada satu majlis perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.

Selain Raisi dan Amirabdollahian, Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur Malek Rahmati, Imam Solat Jumaat Bandar Tabriz Hojjatoleslam Al Hashem dan beberapa individu lain juga dilaporkan berada di dalam helikopter itu. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *