BERITA UTAMA
Takiyuddin jumpa TPM bincang status peruntukan MP pembangkang

Pas kutuk insiden ugutan bunuh terhadap Teresa – Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Pas mengutuk keras insiden ugutan bunuh melalui surat terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas juga bersolidariti dengan Teresa dalam isu keselamatan dan perlindungan diri daripada segala perbuatan jenayah.

Tegas Takiyuddin, Ahli Parlimen Seputeh itu berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan mengikut undang-undang negara sebagai rakyat Malaysia dan atas kapasiti seorang ahli Parlimen.

“Pas menggesa semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menjunjung budaya aman.

“Pas juga menolak semua bentuk perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu dan masyarakat, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, pegangan politik dan sebagainya.

“Pas percaya, selain pihak berwajib, anggota masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Teresa memaklumkan yang beliau telah menerima ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali kelmarin.

Menerusi perkongsian di media sosial, Teresa berkata, ugutan bunuh itu dihantar dalam bentuk sampul surat yang mengandungi dua butir peluru yang dihantar ke kediamannya.

Katanya, surat yang terkandung dalam sampul tersebut juga mempunyai pesanan mengancam nyawa dengan tulisan berwarna merah.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507, Kanun Keseksaan.

Katanya, kesegeraan siasatan dan pendakwaan ke atas pihak-pihak terbabit menjadi lebih utama ketika ini.

Hal itu menurut beliau memandangkan kekerapan berlakunya kes yang membawa unsur ganas dan merosakkan sejak kebelakangan ini, sama ada yang melibatkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya.

“Ketiadaan tindakan yang segera, tegas dan profesional, terutamanya daripada pihak berwajib, boleh menyuburkan kecenderungan negatif dalam masyarakat dan ini akan mencetuskan rasa tidak selamat, malah panik dalam kalangan orang awam,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *