BERITA UTAMA

Anwar zahir takziah, nyata solidariti Malaysia kepada Iran

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran atas tragedi yang menimpa Presiden Ebrahim Raisi bersama delegasi kepemimpinan negara itu, dalam nahas helikopter di barat laut Iran, semalam.

Anwar berkata, Malaysia juga berduka atas tragedi berkenaan dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.

“Terkesan dan sedih tatkala menerima laporan mengenai insiden pesawat di wilayah utara Iran membabitkan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian.

“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri dalam hantaran sama turut berkongsi sekeping gambar beliau bertemu Raisi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, November tahun lalu.

Anwar berkata, dalam pertemuan itu beliau dan Raisi telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

“Raisi menonjolkan sikap yang terbuka, tetapi tegas terutama dalam soal pembangunan rakyatnya serta mempunyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam, terutama dalam perjuangan membela warga Palestin,” kata Anwar.

Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) Pir-Hossein Kolivand hari ini menyatakan tiada mangsa selamat ditemukan di lokasi helikopter terhempas di barat laut Iran yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi.

Helikopter Raisi terhempas pada petang Ahad di kawasan Varzaqan, ketika beliau dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa individu lain, daripada upacara perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *