Tajuk Utama

    ‘Surat parti tiada makna, saya tak akan jawab’ – Syed Abu Hussin

    BUKIT GANTANG – “Surat itu tiada makna dan saya tak akan jawab,” demikian jawab Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika ditanya mengenai tindakannya selepas menerima surat arahan yang dikeluarkan oleh parti Bersatu semalam.

    “Saya dah pun terima surat berkenaan, tiada apa-apa makna dan saya tak akan jawab.

    “Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) pun saya akan turun bertanding.

    “Apa yang saya buat adalah mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu Ahli Parlimen menjalankan tugas,” katanya selepas meninjau mangsa banjir Kampung Jelutung, Changkat Ibol di sini, hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada semua Ahli Parlimen parti itu yang sebelum ini mengumumkan sokongan masing-masing kepada kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau turut merujuk surat parti itu kepada peguam serta bekas hakim dan mereka memaklumkan ada kesalahan kerana sengaja membuat gangguan dan menghasut rakyat.

    Beliau menjangkakan semua enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersedia mengambil tindakan jika perlu bagi memberi kesedaran kepada Bersatu.

    Ditanya mengenai parti yang akan dia wakili jika berlaku sebarang PRK di kawasan itu kelak, beliau belum bersedia mengumumkannya.

    Hamzah dalam kenyataannya pada Jumaat, memberi tempoh 14 hari kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN terbabit untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

    Katanya, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian masing-masing dalam Bersatu terhenti dengan serta-merta mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu, lapor Berita Harian.

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *