BERITA UTAMA

‘Tak perlu wujud jawatankuasa khas pantau program, peruntukan masyarakat India’ – Ramanan

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan mewujudkan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan program dan peruntukan yang disalurkan kepada agensi tertentu khusus untuk masyarakat India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, berkata isu itu tidak berbangkit selagi pihak yang diberi amanah menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Pada pandangan saya, kita sudah ada banyak jawatankuasa, tak payah nak tubuhkan jawatankuasa lagi.

“(Ketika ini) sudah ada pasukan dan rangkaian untuk mereka berjalan. Jadi ikut sahaja (yang sedia ada). Masalahnya sekarang semua orang nak duduk di satu tempat untuk laksanakan satu tugas, (misalnya) 10 orang lakukan tugas sama.

“A cakap pergi ke kanan, B pula cakap ke kiri….akhirnya kita tengok mereka sampai ke bulan, apa pun tak jadi,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 di Menara Bank Rakyat, hari ini.

Hadir sama,Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman.

Beliau diminta mengulas cadangan Majlis Penasihat India Selangor (SICC) supaya kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa bagi memantau pelaksanaan semua perancangan dan program untuk masyarakat India.

Pengerusi SICC, Charles Santiago, berkata jawatankuasa itu boleh diletakkan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk bagi pemantauan peruntukan untuk pembangunan masyarakat India yang disalurkan kepada agensi seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Ramanan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA turut melihat cadangan itu memberi impak kepada komuniti India di negara ini.

“Kekalkan sahaja apa yang ada. Paling penting, yang diberikan mandat, jalankan tugas dengan baik,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *