JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan pendakwaan supaya perintah larangan dikenakan terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkait isu kasino di Forest City, Iskandar Puteri.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini, selepas Mahkamah Sesyen di sini, pada 30 April lalu menolak permohonan pendakwaan berhubung perkara itu.
Perintah larangan berkenaan supaya responden tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana, termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.
Pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh; Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob serta Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Mohd Syafiq Mohd Ghazali.
Chegu Bard, 45, yang diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali pada prosiding hari ini, pada 30 April lalu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial, namun tertuduh mengaku tidak bersalah.
Mahkamah sama turut menolak cadangan memohon perintah larangan atas hujah pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.
Terdahulu pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Kalmizah dalam hujahannya, berkata, ketidakadilan serius terhasil apabila hakim Mahkamah Sesyen menolak permohonan itu dan kesilapan berkenaan perlu diperbetulkan.
“Kes ini membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, justeru ia (perintah larangan) sebagai langkah waspada bagi mengelakkan responden mengeluarkan komen yang mengundang pelbagai reaksi rakyat di media sosial yang akhirnya akan mengundang kesalahan lain.
“Adalah tidak wajar Agong diheret dalam kancah kebencian dan sentimen berterusan hasil perdebatan di media sosial,” katanya dipetik Berita Harian.
Namun, Muhammad Rafique menegaskan perintah itu tidak wajar kerana artikel asal berhubung isu kasino di Forest City masih kekal dan tidak diturunkan oleh dua agensi media antarabangsa.
“Apatah lagi pihak pendakwaan ada kuasa pada bila-bila masa untuk memulakan prosiding menghina mahkamah jika ada kesalahan dilakukan anak guam saya,” kata peguam berkenaan. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252