MEXICO CITY – Lewis Hamilton tidak menolak kemungkinan masih beraksi dalam Formula Satu (F1) apabila sukan permotoran itu kembali ke benua Afrika pada dekad 2030-an.
Pemandu Ferrari yang bakal berusia 41 tahun itu berkata, beliau masih memiliki tahap tindak balas setanding pemandu yang jauh lebih muda daripadanya.
Awal bulan ini, Formula Satu mengumumkan perjanjian selama 10 tahun dengan Rwanda untuk menganjurkan Grand Prix Afrika, yang akan menjadi perlumbaan pertama di benua itu sejak 1993.
Hamilton sebelum ini merupakan antara individu yang aktif memperjuangkan kembalinya F1 ke Afrika.
Mengulas sama ada beliau masih akan berada di grid perlumbaan ketika itu, juara dunia tujuh kali tersebut menegaskan komitmennya terhadap sukan itu masih utuh.
“Pertama sekali, tiada siapa seperti saya pernah berada di sini dalam tempoh 70 tahun. Saya rasa saya dibina secara berbeza,” katanya kepada pemberita menjelang Grand Prix Mexico City pada Khamis.
“Adakah anda melihat reaksi saya dalam perlumbaan terakhir? Reaksi saya lebih pantas berbanding sebahagian pemandu paling muda di sini. Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan minda dan tubuh sentiasa tajam.
“Saya masih mencintai apa yang saya lakukan sekarang. Saya masih memberikan sepenuh komitmen dan akan terus berbuat demikian untuk masa yang boleh dijangka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Pada usia 41 tahun, saya masih boleh bersaing dengan mereka yang berusia 20 tahun. Sama ada saya masih berada di sini pada dekad 2030-an, masa akan menentukan,” katanya.
Bagaimanapun, pelumba Britain itu menegaskan, beliau tidak akan terus berlumba sekiranya prestasinya mula merosot.
“Saya tidak mahu berada terlalu lama sehingga prestasi saya tidak lagi berada pada tahap yang sepatutnya.
“Saya tidak mahu terus memandu apabila reaksi saya menurun, kemampuan pemanduan saya merosot dan kelajuan saya tidak lagi kompetitif,” katanya.
Dalam masa sama, Hamilton berkata. tumpuan utamanya kini adalah menggunakan baki lima perlumbaan musim ini sebagai medan ujian untuk jentera Ferrari musim hadapan, di samping membantu pasukan itu mengesahkan kedudukan kedua dalam kejuaraan pengeluar.
“Bagi saya, memenangi kejuaraan adalah satu-satunya perkara yang benar-benar penting. Mungkin ada yang mengambil berat tentang kedudukan lain, tetapi bukan saya,” katanya.
Hamilton kini menghuni tangga ketiga kedudukan pemandu dengan 241 mata, hanya satu mata di belakang pemandu Mercedes, George Russell.
“Fokus utama saya adalah memastikan kami meraih tempat kedua dalam kejuaraan pengeluar kerana saya rasa pasukan ini layak mendapatkannya,” katanya.
Beliau turut mendedahkan sedang bekerjasama rapat dengan bahagian aerodinamik dan dinamik kenderaan Ferrari bagi mengekalkan kekuatan casis sedia ada sambil memperbaiki kelemahan, khususnya dari segi kelajuan di laluan lurus.
“Jika kami dapat menandingi mereka di laluan lurus, kami mungkin mampu bersaing untuk kedudukan yang lebih baik.
“Tetapi itu mungkin dapat dicapai tahun depan. Itulah sasaran yang sedang kami usahakan,” katanya. – Reuters
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
