BERITA UTAMA

RM700 juta potensi eksport diraih di Doha

DOHA – Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama eksekutif dan pemimpin perniagaan Qatar di sini, hari ini membuahkan hasil apabila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerima potensi eksport berjumlah RM700 juta.

Perkara itu diumumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika berucap pada majlis makan malam rakyat Malaysia di Qatar bersama Perdana Menteri malam ini.

Berita Harian melaporkan Tengku Zafrul sebagai berkata, komitmen eksport itu dinyatakan 36 kapten industri Qatar semasa mesyuarat meja bulat perniagaan yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, kita terima komitmen berjumlah RM700 juta. Ia sekali gus menunjukkan keyakinan syarikat Qatar terhadap produk dan perkhidmatan kita.

“Selain itu, kita juga lihat potensi Asia Barat yang merupakan satu pasaran besar buat Malaysia yang boleh kita teroka,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam dihadiri lebih 500 rakyat Malaysia itu.

Terdahulu, sejumlah 45 kapten industri Qatar terkemuka dari 36 syarikat hadir pada mesyuarat meja bulat yang mewakili sektor seperti makanan dan pemprosesan makanan, farmaseutikal, bahan binaan, hartanah dan pembinaan, pendidikan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan, kewangan, penerbangan, runcit dan pengedaran serta digital ekonomi.

Sewaktu dialog meja bulat, Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Qatar, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.

Beliau menekankan nilai Malaysia yang menarik di mana infrastrukturnya mantap, faktor kedaulatan undang-undang, keberadaan bakat mahir dan boleh dilatih, pelaksanaan projek berdisiplin serta ekosistem perniagaan yang bertenaga menjadikannya destinasi menarik bagi pelabur yang bercita-cita menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan dan poerkhidmatan strategik untuk pasaran Asia, selain menarik peluang baharu untuk pertumbuhan dan kepelbagaian.

Pertemuan meja bulat Perdana Menteri dengan pemimpin industri itu adalah sebahagian daripada usaha agresif Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat meja bulat di Doha berfungsi sebagai pemangkin untuk memupuk perkongsian strategik, menggalakkan pelaburan dan peluang perdagangan, selain memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau mengulangi keutamaan MITI dan agensi di bawahnya untuk memudahkan semua komitmen eksport dan pelaburan oleh perniagaan Qatar, terutamanya dalam sektor seperti bahan kimia/petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik (termasuk alat perubatan), pemprosesan makanan, industri halal, farmaseutikal, minyak dan gas dan tenaga boleh diperbaharui.

Turut diketengahkan, kepentingan strategik Malaysia sebagai rakan dagangan utama, memandangkan keahliannya daripada 16 Perjanjian Perdagangan Bebas yang boleh dimanfaatkan perniagaan Qatar yang berpangkalan di Malaysia. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *