BERITA UTAMA

MCA minta KDN siasat DJ Korea cuba menyamar sami

SHAH ALAM – MCA meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menyiasat dan mengharamkan DJ dari Korea, NewJeansNim untuk menghadiri ke lokasi-lokasi yang telah dijemput di negara ini berikutan cubaan menyamar sebagai sami Buddha.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tindakan DJ itu yang membuat persembahan dengan berpakaian seperti seorang sami di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur baru-baru ini sama sekali tidak wajar dan perlu dihalang.

Menurutnya, masyarakat Buddhist tidak menghalang penghibur tersebut ke negara ini sekiranya dia tidak berpakaian sebagai sami dan melibatkan sebarang unsur keagamaan dalam persembahannya yang jelas telah menghina agama Buddha.

“Gembira mengetahui penganjur telah membatalkan persembahan kedua DJ berkenaan yang dijadualkan berlangsung di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur pada 21 Mei ini.

“Bagaimanapun, saya difahamkan beliau telah dijemput untuk satu lagi persembahan di Melaka yang dijangka berlangsung pada 31 Mei.

“Saya telah menyampaikan hal ini kepada Menteri Dalam Negeri, bahawa sebarang persembahan individu yang cuba untuk menyamar sebagai sami Buddha hendaklah dihentikan bagi memelihara keharmonian agama di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, tular video yang memaparkan penampilan sulung DJ tersebut membuat persembahan dengan memakai jubah sami berwarna putih di kelab malam berkenaan pada 3 Mei lalu.

Susulan itu, video yang berdurasi 15 saat itu telah mendapat kecaman masyarakat Buddha dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana mendakwa tindakan DJ tersebut tidak menghormati cara hidup dan menghina agama mereka. – Sinar Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *