BERITA UTAMA

Insiden timpa Faisal Halim dapat perhatian Tengku Muda Pahang

SHAH ALAM – Insiden buruk menimpa pemain sensasi skuad Harimau Malaya Faisal Halim jelas merentap hati segenap keluarga bola sepak tanah air selepas beberapa individu hadir memberikan sokongan kepadanya di sebuah hopital swasta tempat beliau mendapatkan rawatan di sini.

lndividu penting dalam arena bola sepak antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC Datuk Mohamed Suffian Awang ketika ditemui berkata ia sebagai mengenang jasa Faisal Halim yang pernah bernaung di bawah pasukan itu sebelum berhijrah mewakilI pasukan Terengganu.

“Mengenang titah daripada pemilik Sri Pahang FC Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kami asuh dia sewaktu berumur 17 tahun sehingga ke satu peringkat yang terbaik.

“Apatah lagi Tengku Muda sangat menyayangi beliau sebagai pemain Sri Pahang dahulu jadi dia menitahkan kami untuk melawat beliau,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengulas lanjut rombongan lawatan turut disertai pengurus pasukan Sri Pahang Datuk Dollah Salleh berkata bagaimanapun pihaknya tidak bersua muka secara terus dan hanya sempat berkomunikasi menerusi panggilan video yang memaparkan keadaan Faisal Halim di tahap yang baik.

“Kita dapat lihat dia mempunyai semangat yang kuat biarpun berada dalam keadaan sakit dan lemah namun saya yakin dia akan lebih positif.

“Yang penting pada saya, kita sebagai komuniti bola sepak, kita sekeluarga dan menzahirkan simpati, doa dan kata semangat kepada beliau terus menempuh cabaran-cabaran supaya proses rehabilitasi dan perkembangan dia semakin hari semakin baik,” katanya.

Terdahulu, Faisal Halim yang turut dikenali sebagai Mickey dilaporkan memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif yang melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

Beliau difahamkan sedang menjalani proses pembedahan seterusnya selepas dua pembedahan dilalui sebelum ini.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *