BERITA UTAMA

Seorang maut, dua cedera nahas dua treler

SIBU – Seorang maut manakala dua cedera apabila lori treler yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lagi lori treler, dalam kemalangan jalan raya di Jalan Stapang – Sibu, kira-kira 50 kilometer dari sini, lewat petang Khamis.

Ketua Bomba Zon Sibu Andy Alie berkata setakat ini, identiti mangsa yang maut belum dapat dikenal pasti manakala mangsa cedera ialah Berudie Nyalai, 24, yang tersepit dan cedera kaki, tangan, pinggang dan dada, manakala seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai Saberi, 36, cedera ringan dan berjaya dikeluarkan orang awam.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan mengenai kejadian pada 5.50 petang, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau, digerakan ke lokasi kejadian.

“Sampai di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah lori treler telah melanggar belakang sebuah lagi lori treler, yang menyebabkan lori treler yang melanggar itu terbalik di atas jalan raya.

“Ada tiga mangsa, seorang mangsa berjaya dikeluarkan orang awam, seorang mangsa lagi terpelanting keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian. Manakala seorang mangsa tersepit berada dalam lori,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata mangsa tersepit itu berjaya dikeluarkan pada 7 petang dan telah diserahkan kepada pihak KKM. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *