BERITA UTAMA

Bapa Faisal harap penyimbah asid, perancang diberi petunjuk, hidayah

KUALA LUMPUR – Bapa bintang bola sepak negara, Faisal Halim iaitu Halim Saad memohon agar Allah memberikan petunjuk kepada pesalah dan perancang yang menyerang anaknya dengan menyimbah asid Ahad lalu.

Jelas Halim, beliau reda dengan ujian menimpa Faisal yang sedang bertarung nyawa akibat tindakan jenayah oleh orang yang tidak dikenali itu.

Katanya, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey tidak pernah bermusuh dengan sesiapa malah sifat periang dan suka berjenaka ketika bersama rakan atau sesiapa sahaja adalah perangai sebenar anaknya itu yang disukai ramai orang.

“Saya berserah… saya reda, mungkin ada hikmah di sebaliknya walaupun orang anggap ini sebagai kifarah dia (Faisal), saya terima, saya reda.

“Kita sebagai orang Islam, cuma saya harap orang yang niat buat kat dia itu, moga Allah bagi hidayah sekiranya dia (pesalah) orang Islam.

“Allah buka pintu hati dia. Dia buat satu kesilapan besar sebagai seorang Islam. Rasa-rasanya Faisal tak ada musuh siapa-siapa sebab dia tak pernah nak berselindung diri nak lari-lari daripada orang, tak ada.

“Dia ini macam saya jugalah bila mai ‘gila-gila, jadi ‘gila-gila’ lah. Dia ini seorang kelakar, dia ini seorang yang ‘friendly’,” katanya pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Pulau Pinang, malam semalam.

Beliau tidak mahu melihat anaknya itu patah semangat sebaliknya mahu pemain sayap Selangor FC dan skuad Harimau Malaya itu bangkit semula.

“Sekarang ini saya nak dia kuatkan diri dia, dengan karier dia itu kalau boleh dia lagi tekad nak dia lagi ke depanlah.

“Insya-Allah kita pakat-pakat doa. Kita berterima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab mengambil kes ini dan soal siasat cari pelaku itu. Apa pun kita berserah kepada pihak berkuasa,” katanya.

Ujar Halim lagi, hanya isteri Faisal dibenarkan untuk berada di sisi anaknya itu yang masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Shah Alam sejak Isnin lalu.

“Isteri dialah. Hanya isteri dia seorang dibenarkan masuk untuk nak elakkan daripada jangkitan. Tak mahu (tak dibenarkan pelawat hadir) dia jadi trauma, tak mahu dia jadi ‘down’. Sebab 10 orang, 10 perkara dia akan hadapkan.

“Kawan ini tanya macam ini, kawan ini tanya macam ini. Jadi kita nak jaga emosi dia dan sebab nak kena jaga dia punya mental. Cuma bila isteri dia bagi tau ada keluarga mai cukup untuk bagi semangat kat dia,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *