KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) merafak sembah dan menjunjung kasih atas pelantikan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang baharu.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya juga menjunjung kasih kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi MKI sebelum ini.
Katanya, baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menunjukkan sikap cakna yang tinggi terhadap perkembangan Islam di negara ini dan bersikap pro aktif terhadap sebarang isu berbangkit berkaitan Islam khasnya dalam menangani isu sikap melampau dan ghuluw di kalangan umat Islam di Malaysia.

“Amanah menzahirkan kepercayaan penuh kepada Tuanku Pengerusi MKI yang baharu untuk menangani masalah sikap melampau dalam beragama dan ghuluw di kalangan masyarakat umat Islam sekarang.
“Umat Islam semakin hilang nilai akhlak dan sangat mudah mencaci dan memaki umat Islam yang lain khasnya terhadap pimpinan parti politik yang tidak sehaluan dengan mereka termasuk terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sikap melampau begini sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan dasar perjuangan Rasulullah SAW bahawa Islam adalah rahmat untuk semua,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Menurut Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, parti itu juga berharap Tuanku Pengerusi MKI dapat menggerakkan umat Islam untuk sama-sama bersolidariti bersama rakyat Palestin yang kini menghadapi ujian besar menghadapi penindasan Israel. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252