KUALA LUMPUR – Pas akan menunggu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa Mohd Shukri Ramli sebelum membuat sebarang keputusan terhadap Menteri Besar Perlis itu.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan isu perubahan kepimpinan di Perlis ketika ini.
Katanya, siasatan penuh perlu dilakukan pihak berkuasa sebelum sebarang perbincangan mengenai kedudukan Mohd Shukri boleh dibuat oleh jawatankuasa Pas pusat.
“Masih terlalu awal untuk membincangkan soal perubahan kepimpinan kerajaan Perlis. Ini zaman kerajaan Madani, ketika era ini ada yang dipanggil membela diri pun dapat DNAA dan sebagainya.
“Kalau mahu bincangkan pertukaran kepimpinan kerajaan Perlis ini masih terlalu awal, kita serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Terdahulu, pada 2 Mei lalu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pihaknya bersedia mengambil alih tanggungjawab menerajui pentadbiran negeri sekiranya wakil parti itu diminta berbuat demikian.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kenyataan Abu Bakar sebagai pandangan peribadi.
Menurut Pengerusi PN Selangor itu, tiada perbincangan mengenai pertukaran kepimpinan negeri dibuat gabungan berkenaan.
Jelasnya, apa sahaja yang berlaku dalam PN perlu dibincangkan dengan semua parti komponen terlebih dahulu dan dipersetujui atas prinsip kebersamaan.
“Tiada amalan ‘Big Brother’ dalam PN, semua parti komponen adalah sama dan mempunyai hak untuk berbincang. Itu adalah PN, bukan soal pandangan individu.
“Saya tidak mahu komen pandangan individu kerana prinsip kita pegang, ia mestilah dibawa dalam PN di peringkat negeri atau pusat.
“Memang tidak ada dibincangkan, tiada sebab, malah tak timbul soal perubahan kerajaan negeri di Perlis,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252