Jom mencerap meteor Eta Aquariids

BERMULA sekitar awal pagi esok (5 Mei) dan lusa (6 Kei 2024) sehingga ke Subuh merupakan waktu paling terbaik untuk menyaksikan hujan meteor Eta Aquariids yang mencapai puncaknya dengan kadar kenampakan meteor sekitar 50 meteor dalam tempoh masa sejam.

Hujan meteor Eta Aquariids merupakan musim hujan meteor yang berasal dari sisa debu (meteoroid) yang ditinggalkan oleh komet Halley yang memasuki atmosfera Bumi setiap tahun bermula dari 19 April sehingga 28 Mei.

Jangkaan kadar kenampakan meteor dalam tempoh masa sejam yang dinyatakan itu jika keadaan betul-betul sempurna seperti, 1) Titik kemunculan meteor berada tepat atas kepala ketika waktu puncaknya. 2) Tiada awan. 3) Tiada sebarang gangguan cahaya serta cuaca tidak hujan dan beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi kadar kenampakan meteor.

Prospek kenampakan meteor Eta Aquariids tahun ini agak baik kerana tiada gangguan cahaya bulan yang terang benderang kerana bulan sedang berada di dalam fasa sabit tua.

Bagaimanapun, titik kemunculan meteor iaitu di sekitar buruj Aquarius (berdekatan bintang Eta Aquariids) tidak berada tepat di atas kepala kita di sini (Malaysia).

Mengambil kira keadaan tersebut serta faktor yang lain, ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi kadar kenampakan meteor.

Arah mana untuk mencerap Eta Aquariids?

Titik kemunculan meteor mula terbit dari arah tenggara sekitar awal pagi (dalam lingkungan jam 2 pagi ke 3 pagi).

Hujan meteor Eta Aquariid boleh muncul dari pelbagai arah apabila titik kemunculan meteor semakin tinggi di langit.

Jadi, anda boleh halakan pandangan di mana-mana bahagian lain yang paling gelap.

Panduan untuk mencerap hujan meteor. 1) Berada di kawasan yang kurang atau bebas pencemaran cahaya untuk hasil yang lebih baik seperti di pantai, kampung yang jauh dari bandar. 2) Tidak memerlukan binokular atau teleskop. Cukup menggunakan mata kasar sahaja.

3.Baring dan fokuskan pandangan ke langit. Mata memerlukan sekurang-kurangnya 20 ke 30 minit untuk menyesuaikan dengan keadaan langit yang gelap.

4.Sediakan ubat nyamuk dan sebagainya untuk keselesaan. 5) Boleh memuat turun aplikasi yang memaparkan peta bintang seperti Stellarium sebagai panduan. – Nasionaldaily

Kredit imej: Rusty McGrath.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *