BERITA UTAMA

Isu kenaikan harga petrol dan diesel, jangan ulangi sejarah Pak Lah

SAYA memuji Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini kerana cepat dan pantas menyangkal laporan media luar negara kononnya kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

[Sumber: Bernama diterbitkan oleh Malaysiakini 04 Mei 2024 jam 6.50 petang]

Saya, sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan sekadar ingin nasihatkan kabinet kerajaan persekutuan sekarang yang lebih bijak dan lebih faham dari saya dalam soal menyedari kesan kenaikan harga minyak petrol dan diesel jika subsidi ditarik balik dan harga bahan api itu diapungkan ikut harga pasaran.

Saya cuma ingatkan sahaja kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sejarah lalu semasa pemerintahan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah Badawi masuk pilihan raya umum tahun 2004 iaitu kali pertama sebagai Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan.

Dalam PRU tahun 2004 itu BN menang besar. Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri yang amat popular. Kerajaan BN berkuasa dengan majoriti di Parlimen melebihi dua pertiga. Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pupus dalam PRU tersebut kerana menang satu kerusi sahaja di Permatang Pauh dengan majoriti 504 undi oleh Presidennya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tetapi, apa kesilapan yang kerajaan Abdullah Badawi lakukan empat tahun kemudian sebelum PRU tahun 2008?

Kerajaan Abdullah Badawi telah apungkan harga minyak petrol dan diesel mengikut harga pasaran. Apa jadi dalam PRU tahun 2008 itu?

BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, BN tumbang di lima negeri secara serentak iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Perdana Menteri Abdullah Badawi meletakkan jawatan.

Jadi, saya sebagai Ahli Parlimen kerajaan Madani ini, yang sayangkan kerajaan persekutuan ini, sekadar ingin menasihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri dalam kabinetnya.

Nasihat saya cermat-cermat sedikit apabila bertindak dalam soal harga minyak petrol dan diesel. Hati-hati apabila hendak tarik balik subsidi terhadap petrol dan diesel.

Niat kerajaan baik. Alasan kurangkan subsidi minyak petrol dan diesel itu logik, munasabah dan ada asas serta meritnya. Tetapi, risikonya besar. Jangan kerana tarik subsidi petrol dan diesel, maka rakyat pula tarik balik sokongan kepada kerajaan seperti yang dialami oleh kerajaan Perdana Menteri Abdullah Badawi suatu waktu dulu. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *