Dua warga asing Myanmar ditahan disyaki aktif samun berkumpulan, pecah rumah

KUALA LUMPUR – Polis memberkas dua lelaki warga Myanmar di Taman Muda, dekat sini, kelmarin, kerana disyaki aktif melakukan samun berkumpulan sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata terdahulu pihak polis menerima maklumat pada 23 Mac lalu bahawa seorang lelaki berusia 75 tahun disamun oleh suspek warga asing.

Dalam kejadian itu, beliau berkata, mangsa dilaporkan berada di rumah bersama isteri dan pekerja sebelum didatangi empat suspek kononnya untuk urusan jual beli pendingin hawa.

“Bagaimanapun, salah seorang suspek didakwa tiba-tiba menolak mangsa sehingga terjatuh, manakala pekerjanya dicekik dan ditumbuk pada bahagian muka oleh dua suspek.

“Suspek didakwa telah menggeledah rumah dan membawa lari wang tunai RM3,000 serta dua telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, kejadian berkenaan menyebabkan lelaki warga emas itu mengalami kecederaan bengkak pada bahagian mata kiri, manakala pekerjanya sakit di leher serta luka di bawah mata kanan, dan kedua-dua mangsa kemudian menerima rawatan lanjut di Hospital Ampang.

Kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, katanya, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menahan dua suspek berusia 33 tahun di Jalan Mawar, Taman Muda, kerana disyaki terbabit kes yang sedang disiasat.

Beliau berkata, polis turut merampas beg galas, dua kotak mengandungi wang syiling, satu jam tangan dan serangkai anak kunci bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Hasil semakan pula mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod lampau, manakala suspek kedua tiada rekod lampau,” katanya.

Berdasarkan hasil siasatan awal, Mohd Azam berkata, suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah sejak awal tahun ini dengan menyasarkan kawasan perumahan teres.

Susulan itu, katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *