KUALA TERENGGANU – Pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid mengalami kecederaan akibat diserang dua individu bermotifkan samun berhampiran kediamannya di sebuah kondominium, malam tadi.
Akibat serangan itu, pemain berusia 25 tahun itu cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri, dipercayai dengan besi yang boleh laras.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Akhyar diserang dua individu tidak dikenali kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa baru sampai di kawasan kediamannya di tempat kejadian.
“Beliau pulang selepas selesai menjalani sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus dan tiba-tiba diserang suspek.
“Suspek yang memakai ‘mask’ dan menutup kepala dengan baju hoodie, sempat mengambil beg duit mangsa yang disimpan dalam beg bimbit yang dipegangnya, sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan.
“Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di ubun kepala selepas terdapat koyakan kecederaan kira-kira empat sentimeter sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Mangsa yang kerugian kira-kira RM5,000 menerima empat jahitan di bahagian ubun kepala serta dua jahitan di bahagian kaki kiri selain mengalami bengkak di bahagian lengan kiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azli berkata, usaha mengesan dua individu yang terbabit dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252