BERITA UTAMA

Budak lelaki 13 tahun mengaku bakar anak kucing hidup-hidup

KAJANG – Budak lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membakar anak kucing di sebuah pangsapuri, minggu lalu.

Tertuduh yang tidak pernah bersekolah itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 27 Jun untuk tarikh sebutan semula kes bagi laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.

Mengikut pertuduhan, pesalah juvana itu didakwa bersama dua lagi individu yang masih bebas, secara kejamnya menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah parkir pangsapuri di Hulu Langat pada jam 1.08 tengah hari, 22 April lalu.

Kesalahan dibuat mengikut Perenggan 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Kes ini sangat serius kerana melibatkan kesalahan penganiayaan terhadap binatang, selain ia melibatkan kes berkepentingan awam,” katanya.

Bagaimanapun, ibu kepada budak itu yang berusia 30 tahun merayu anak tunggalnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana dia hanya bekerja kilang.

Ibu tunggal itu berkata, dia perlu menjaga ibunya yang sudah tua dan tidak berkemampuan sekiranya ikat jamin ditetapkan terlalu tinggi.

Selepas mendengar permohonan dari kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Hujung bulan lalu, tular satu rakaman video berkaitan kejadian itu yang menunjukkan tiga lelaki sedang melepak di tapak parkir motosikal flat berkenaan.

Dua daripada mereka kemudian menyimbah sesuatu dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dianggarkan berusia enam minggu sebelum salah seorang menyalakan api.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor turut mengesahkan menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Langat pada 24 April berhubung kes itu. – Dipetik Sinar Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *