BERITA UTAMA

PRK KKB: Isu hutang calon PN, pimpinan Bersatu diberi penjelasan

HULU SELANGOR – Pimpinan tertinggi Parti Bersatu sudah mendapatkan penjelasan daripada calonnya, Khairul Azhari Saut berkaitan isu hutang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkembangan tersebut akan dimaklumkan kepada umum oleh Khairul Azhari kerana melibatkan isu peribadi.

“Kami menyedari dan tahu isu yang ditimbulkan terhadap calon, selain telah mendapat penjelasan, siasat dan selidik sedalam-dalamnya.

“Bagi parti, kami tahu dan yakin calon yang diketengahkan bebas dari perkara yang melanggar undang-undang, berkelayakan serta mampu menggalas tanggungjawab apabila terpilih sebagai ADUN nanti.

“Beliau akan membawa suara rakyat di DUN dan kami akan jadi pembangkang yang berwibawa di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum PN di Hulu Yam, malam tadi.

Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial yang mempersoalkan kredibiliti calon PN kelahiran Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih dibelenggu hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu bagaimanapun mengelak ketika ditanya pemberita mengenai perkara berkenaan.

Sementara itu, dalam ceramahnya, Faizal yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun mendakwa, kerajaan Selangor hari ini tidak peduli nasib rakyat berbanding ketika dipimpin bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ketika Azmin jadi Menteri Besar, boleh beri cukai taksiran murah, buka tempat baharu untuk beri semula kepada rakyat, cukai penjaja juga percuma.

“Dulu Selangor jadi negeri contoh, yang boleh dibanggakan, tetapi sekarang ‘letih’, ujarnya.

Terdahulu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengumumkan akan melaksanakan kadar cukai taksiran baharu untuk 181,144 premis yang melibatkan 85,646 premis atas tanah dan 95,498 premis strata.

Premis strata yang tidak diubahsuai pula akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus, sementara yang telah diubahsuai dinaikkan lebih tinggi. Laporan SH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *