KUALA LUMPUR – Seramai 12 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan Goldman Sachs di tujuh negeri dengan kerugian dianggarkan melebihi RM11 juta, Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan suspek berusia 21 hingga 45 tahun di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak, Perak, Kedah dan di Pulau Pinang itu dilakukan di bawah Op Nuri 7/24.
“Semua suspek berperanan sebagai pengarah syarikat dan pemilik perniagaan digunakan sebagai akaun keldai dalam kegiatan penipuan pelaburan yang dijalankan.
“Hasil siasatan mendapati sindiket penipuan ini beroperasi dalam talian sejak Februari lalu menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka di dunia iaitu Goldman Sachs bagi memperdayakan mangsa,” katanya dalam sidang media khas Pengarah JSJK di Menara KPJ di sini, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menggunakan laman sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp sebagai medium pemasaran dan komunikasi dengan mangsa.
“Skim pelaburan ini menawarkan pulangan tinggi iaitu 15 hingga 200 peratus sebulan. Keuntungan dijamin melalui bimbingan dan bantuan daripada pakar analisis pasaran modal atau Cikgu Trader,” katanya.
Beliau berkata, untuk melabur, mangsa diminta memuat turun aplikasi Bam Pro dan Baly Pro Apps di App Store dan Google Store, sebelum diarah membuat pindahan wang pelaburan ke akaun syarikat keldai ditetapkan sindiket.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila gagal mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh,” katanya.
Ramli berkata, pihaknya turut merampas lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu pouch bag, dua salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sehelai salinan borang pendaftaran perniagaan dan lima helai Form A, pendaftaran perniagaan.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 29 kertas siasatan melibatkan pelaburan Goldman Sachs dibuka dan 19 akaun bank dikenal pasti melibatkan tiga syarikat dan 16 perniagaan yang disalahgunakan sebagai akaun keldai untuk menerima wang daripada mangsa.
“Semua Orang Kena Tuduh direman tiga hari sehingga semalam. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252