Pensyarah digantung tugas kerana jadikan penuntut macam orang gaji

BEIJING – Seorang profesor universiti di China, baru-baru ini digantung tugas selepas didakwa mengeksploitasi penuntutnya.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Zheng Feng, seorang profesor madya di Universiti Pos dan Telekomunikasi Beijing (BUPT) mencetuskan kemarahan di media sosial China selepas 15 penuntut membuat aduan terhadapnya.

Menurut surat terbuka dengan 23 halaman yang disiarkan pada 9 April itu, Zheng, yang mengajar komunikasi tanpa wayar dan teknologi pemprosesan isyarat digital dikatakan memberikan bimbingan penyelidikan yang sangat sedikit.

Sebaliknya, dia mengharapkan penuntut membelikan sarapan, membersihkan kediaman dan mengambil barangannya.

Selain itu, dia dikatakan menyuruh penuntut menghantar anak dan ahli keluarga yang mahu pergi ke mana-mana tempat.

Apa yang mengejutkan, dia turut meminta pelajar membantu anak perempuannya membuat kerja sekolah dan ujian.

Profesor itu juga membiarkan penuntut berada di makmal lebih 10 jam sehari, termasuk ketika hari cuti dan mengharapkan mereka menghadiri mesyuarat selepas 10 malam.

Jika ada yang mengadu, Zheng akan mengugut untuk menyingkirkan penuntut daripada projek penyelidikan atau menangguhkan pengajian mereka.

“Zheng Feng melayan kami seperti hamba. Lebih banyak perkara yang tidak berkaitan dengan penyelidikan akademik mengambil masa kita, disertai dengan penghinaan tidak berkesudahan dan penderaan lisan,” tulis pengadu dalam surat terbuka itu.

Dalam surat berkenaan, kebanyakan penuntut Zheng dikatakan mengalami masalah kesihatan mental, termasuk kebimbangan dan kemurungan.

Surat terbuka itu cepat tular di media sosial Weibo, sehingga tanda pagar berkaitan dengan insiden itu mengumpul lebih 88 juta tontonan, dan pada kedudukan dua teratas dalam senarai topik trending.

Susulan kejadian, pihak universiti melucutkan kelayakan Zheng sebagai tenaga pengajar dan menurunkan pangkatnya.

Sementara itu, penuntut terkesan ditawarkan khidmat kaunseling. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *