NOEL Barber seorang wartawan asing (foreign correspondent) akhbar Daily Mail tahun-tahun 40an dan 50an, dalam bukunya “The War of The Running Dogs – How Malaya Defeated the Communist Guerrillas 1948-1960”, Cassel Military Paperback, 2004: muka surat tajuk, memetik kata-kata General Templer berikut, “ The answer lies not in pouring more troops into the jungle, but in the hearts and minds of the people” memperkukuhkan keyakinan dan kepercayaan bahawa memenangi perang itu bukan dengan mengerah pasukan tentera ke dalam hutan, tapi dengan memenangi jiwa raga rakyat.
Gerakan bersenjata zaman darurat mencetuskan siri serangan Communist Party Malaya (CPM), atau Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap kepentingan penjajah British khususnya para pemilik ladang getah dan lombong bijih digambarkan dengan agak terperinci oleh Noel Barber. Kacau bilau ketika itu begitu menakutkan. Misalnya Bob Thompson, seorang staf Malayan Civil Service sejak tahun 1938 tersangat bimbang dengan peningkatan keganasan dan tindakan mogok. Dalam tahun 1947, lebih 300 tindakan mogok, didalangi pihak komunis telah melumpuhkan ladang-ladang getah dan lombong-lombong bijih timah. Sesungguhnya tindakan ketenteraan Communist Party Malaya atau Parti Komunis Malaya sememangnya sangat membimbangkan orang-orang Eropah dan kaum pemodal – dan rakyat jelata seluruhnya.
Peristiwa serangan berdarah dan kekejaman Parti Komunis Malaya terhadap para pengurus ladang, pemilik lombong dan tali barut British (‘the running dogs’) di pelbagai tempat seluruh negara dirakam dengan agak rinci. Ia rekod kekejaman puak-puak teroris dan bukannya perjuangan kemerdekaan. Di mata Noel Barber, ini adalah gerakan ganas untuk memusnahkan kerajaan Malaya (dan bukannya perjuangan untuk memerdekakan Malaya ‘milik’ British). Malaya sebuah negeri yang memberikan keuntungan besar dengan segala hasil mahsyul kekayaan seperti bijih timah, getah dan kayu kayan mestilah dipertahankan dengan menghancurkan PKM.
Salah satu aspek menarik buku ini ialah beberapa ‘pengajaran’ yang boleh direnung ikhtibarnya. Pengarangnya kagum sekali dengan watak dan kehebatan Henry Gurney sebagai High Commisioner Malaya dan kawan-kawannya yang lain dalam memerangi CPM. Kagum dengan Henry Gurney kerana melihat bahawa perang melawan komunis itu adalah perang ideologi. Oleh kerana itu pihak tentera tidak boleh mengawal dan menentukan bagaimana perang ini dikendalikan. Gurney yakin dan percaya yang diperlukan ialah sokongan tentera untuk perang ideologi dan bukannya sokongan politik untuk peperangan tentera.
Menurut Noel Barber, “Fortunately for the future of Malaya, the country had more than its quota of brilliant, dedicated men whose persuasive powers helped to prevent military domination of the civil power – men like Malcolm MacDonald and Bob Thomson.”
Ini pula pandangan Bob Thomson: “ It’s all very well having bombers, masses of helicopters, tremendous fire power, but none of these will eliminate a Communist cell in a high school which is producing fifty recruits a year for insurgent movement.”
‘Sebagai pembaca sejarah’, kita berpeluang merenung contoh-contoh dari rumah sejarah kita. Contoh bagaimana pihak British menyekat bekalan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan bantuan-bantuan lain supaya tidak sampai kepada pihak komunis. Strateginya ialah dengan memindahkan 600,000 setinggan Cina yang tinggal di pinggir-pinggir hutan, ke satu tempat yang dikenali sebagai Kampung-Kampung Baru – kawasan yang berpagar dan dikawal ketat dengan tujuan ‘mencabut dan menempatkan semula’ (to uproot and resettle) para setinggan Cina – salah satu sumber penting bantuan kepada pihak komunis. Itulah sejarah kelahiran Kampung-Kampung Baru. Dan untuk menjayakan Rancangan Briggs bantuan Raja-Raja Melayu juga perlu. Kata Noel Barber, (m.s. 80) “ Quite apart from Gurney’s foresight, it is his patience, tact and understanding which persuaded the Malay rulers that it was to their advantage to give away land titles to form New Villages”
Di samping itu, Henry Gurney yang digelar Tiger Malaya menggunakan kaedah kawasan putih sebagai satu lagi strategi melawan komunis. Dan ada satu lagi fakta menarik tentang Sir Henry Gurney sebelum dia ditugaskan ke Malaya sebagai Pesuruhan Jaya Tinggi ke Malaya. Dia adalah di antara watak yang terlibat menentang rakyat Palestin yang sedang bergolak sekarang ini. Kita tentu tidak boleh lupa bagaimana rakyat Palestin yang bangun menentang penjajah itu telah mereka gelar dan cop sebagai teroris@pengganas.
Kebetulan Pak Long juga ada senaskhah buku karya Abu Samah Mohd Kassim, bertajuk “Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan”, Nan Dao Publisher, Hong Kong, 1996. Timbul keinginan Pak Long untuk membuat perbandingan dan merujuk apa pula kata Abu Samah. Untuk makluman, Abu Samah adalah Anggota Jawatankuasa Pusat PKM, anggota Dewan Rendah Pertama Utara Malaya dan anggota Markas Besar Rejimen Ke-10. Pak Long kongsi di sini petikan dari muka surat 7 dan 8 buku ini “ketika umur saya dalam lengkongan 10-11 tahun, (ketika belajar di sekolah Arab), saya mulai mengambil berat merapati aki dan datuk saya termasuk Mat Lela (anak Datok Bahaman). Mulai dari sinilah mereka tak putus-putus menceritakan keadaan, watak, semangat, tingkah laku, budi pekerti Datok Bahaman dari awal sehingga terusirnya Datok Bahaman dan pengikut-pengikutnya ke Chengmai, Utara Thailand, bagaimana sengsaranya Datok Bahaman waktu berada dalam kapal api ketika dalam pelayaran ke Teluk Siam yang diletakkan di tepi boiller api yang merah membara itu.” Catatan sejarah yang dirakam oleh Abu Samah Mohd Kassim memaparkan latar belakang, semangat, pengalaman dan kegetiran perjuangan melawan penjajah British sebagai sesuatu – sikap dan keberanian yang sekian lama tertanam dalam dirinya.
Bagi mana-mana penguasa, apa saja bentuk penentangan lebih-lebih lagi gerakan massa yang dilihat mengancam kuasanya akan ditentang dengan habis-habisan. Dalam konteks ini, propaganda memainkan peranan penting dan salah bentuk perang saraf untuk membunuh gerakan massa ialah dengan memburuk-burukannya dengan melabel, memomoki supaya gerakan massa dilihat sebagai pihak yang jahat dan bersalah. Di antara label yang paling ketara berkesan pada zaman ketika fahaman komunisme menjadi musuh ketat kapitalisme ialah dengan menuduh dan mengaitkan golongan kiri ini sebagai komunis dan anti-agama. Inilah label yang diberikan kepada golongan kiri yang berjuang untuk membebaskan Malaya dengan caranya sendiri termasuk mengangkat senjata menentang British.
Ada satu peristiwa menarik yang dicerahkan oleh Abu Samah dalam bukunya iaitu ‘Peristiwa 20 Jun 1948’, iaitu ‘kejayaan perarakan besar-besaran’ Hari Pekerja Antarabangsa 1 Mei 1948. Pada pandangan Abu Samah kejayaan besar perarakan mengejutkan dan amat membimbangkan pihak British. Untuk mematikan penentangan, Abu Samah telah menerima pandangan, nasihat serta ‘amaran-amaran’ oleh banyak pihak, termasuk pandangan Ketua Intelijen di Mentakab, Ketua UMNO Bahagian Bentong, Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh. Menurut Abu Samad, “Pada pokoknya nasihat mereka itu dititikberatkan agar berhenti campur dalam “gerakan orang Cina” walaupun Abu Samah telah menjelaskan matlamat perjuangannya ialah untuk membantu masyarakat dan memperjuangkan kemerdekaan Malaya.
Demikianlah catatan sejarah dari sudut pandangan dua pihak yang bukan saja berbeza tapi bermusuhan; di satu pihak, sang penjajah (tentunya dia tidak bersetuju dikatakan penjajah) yang ditentang dengan seluruh jiwa raga oleh pihak yang dijajah-ditindas. Kedua-duanya menyatakan bahawa masing-masing di pihak yang benar. Oleh itu terserahkan kepada kebijaksanaan kita masing-masing sebagai pembaca sejarah untuk menentukan sikap dan pendirian.
Ketika ini kita berdiri di ambang 1 Mei, satu tarikh keramat untuk seluruh kaum pekerja seluruh dunia. Kita tentu tidak lupa bagaimana para pejuang kaum pekerja juga tidak pernah sunyi dari dilabel. MELABEL untuk menjananamkan itu termasuklah “Itu orang kiri!” Dan masih ramai lagi dalam kalangan kita yang masih belum faham terus angguk-angguk. Angguk-angguk kerana percaya bahawa golongan kiri itu tidak diperlukan dalam saf kepimpinan.
EPISOD 19: Mengintai karya Noel Barber dan Abu Samah Mohd Kassim tentang darurat Malaya Tahun 1948.