BERITA UTAMA

PM tiba di Riyadh hadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia

RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Sabtu malam dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada kira-kira 10.25 malam Sabtu waktu tempatan atau 2.29 pagi Ahad waktu Malaysia.

Ketibaan Anwar serta delegasi Malaysia disambut oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud bersama-sama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Riyadh akan menjadi hos mesyuarat khas itu yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad dan bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.’

Mohamad berkata, Anwar menerima jemputan peribadi daripada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman untuk menyertai sesi panel bertemakan ‘Wawasan Baharu untuk Pembangunan Global’ bersama pemimpin negara lain semasa Pembukaan Mesyuarat Khas itu.

Selain itu, Anwar dijadualkan menyertai Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan khusus untuk mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dalam sesi ini.

Perdana Menteri juga akan menghadiri program Dialog Strategi Negara dan beliau dijangka berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.

Di luar mesyuarat itu, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk rakan sejawatnya dari Jordan iaitu Bisher Hani Al-Khasawneh dan Presiden Rwanda, Paul Kagame.

Perdana Menteri juga akan menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan di Majlis Makan Malam Khas yang dihoskan oleh Putera Mahkota Arab Saudi.

Lawatan kerja ini akan terus memperkukuh hubungan erat yang sudah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi serta memperkasa silaturahim pemimpin kedua-dua negara. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *