PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada semua keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi nahas dua helikopter pagi tadi.
Katanya, negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas yang berlaku di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.
“Saya ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.
“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Allah mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-sisi-Nya,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Menurut Anwar, beliau dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas.
Terdahulu, TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua helikopter miliknya, sebentar tadi.
Pada masa sama, TLDM turut mengesahkan semua kru yang terlibat dalam kemalangan udara berkenaan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses siasatan. – ND
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!