BERITA UTAMA

Baginda Yang di-Pertuan Agong tinjau persekitaran Mersing dari udara

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan meninjau persekitaraan daerah Mersing melalui udara, hari ini (14 April).

Seri Paduka Baginda berangkat dari lapangan helikopter Istana Bukit Serene, Johor Bahru kira-kira pukul 9.30 pagi menggunakan helikopter Sikorsky milik Baginda sebelum mendarat di Istana Flintstones.

Dalam tinjauan udara selama hampir 40 minit, Yang di-Pertuan Agong turut meninjau pesisir pantai Mersing, Kem Iskandar, Istana Flintstones dan juga Lighthouse Istana Flintstones.

Seri Paduka Baginda bertitah Mersing merupakan sebuah daerah pelancongan yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara serta kaya dengan keindahan alam.

“Dalam tinjauan udara selama hampir 40 minit ini, saya meninjau persekitaraan daerah Mersing termasuk pesisir pantai.

“Mersing bukan sahaja kaya dengan keindahan flora dan fauna, malah terdapat banyak pulau-pulau yang menjadi tarikan pelancong,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan para pemilik resort serta penduduk kampung tentang tanggungjawab dalam menjaga kebersihan pulau-pulau.

“Jangan terkejut jika saya membuat rondaan secara mengejut di kawasan perkampungan serta pulau-pulau persekitaran Mersing,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda turut meninjau fasilitas bot di Kem Iskandar.

“Saya juga mendapati kolam selam tempur di kem berkenaan masih belum siap sepenuhnya di mana ia sepatutnya diserahkan kepada 21 GGK pada Disember 2022.

“Malah, saya telah dimaklumkan sehingga sekarang lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak yang berkenaan,” titah Seri Paduka Baginda. – ND

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *