KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar menegaskan beliau bersedia menjawab di mahkamah terhadap semua soalan berhubung catatan dalam blognya yang sedang disiasat polis.
Tamrin yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba, berkata; “Semua soalan akan dijawab (jika dia didakwa) di mahkamah.
“Saya sedia menjawab (semua soalan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.
Terdahulu, Tamrin tiba di Bukit Aman pada 10.35 pagi untuk memberikan keterangannya. Beliau diiringi peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Beliau dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman susulan catatan di blog, berhubung ramalannya mengenai kepimpinan dan keadaan politik Melayu di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sementara itu, Rafique berkata, Tamrin memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis ketika sesi itu.
“Tamrin berada di sini untuk bekerjasama (dengan polis), di mana dia memberi kerjasama sepenuhnya.
“Sudut penyiasatan adalah pada catatannya, ’10 Tahun lagi, DAP akan jadi Tuan’,” katanya.
Rafique berkata, Tamrin disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ditanya sama ada Tamrin akan dipanggil lagi untuk diambil keterangan, Rafique berkata, beliau percaya siasatan sudah selesai.
“Polis mempunyai semua butiran yang diperlukan kerana Tamrin memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak pernah menyembunyikan fakta dia menulis artikel (catatan blog).
“Kami akan biarkan polis menyiasat dan menyelesaikan siasatan dan selepas itu peguam negara melakukan perkara yang perlu jika ada pertuduhan yang perlu didakwa.”
Pada Khamis lalu, Tamrin mendedahkan beliau dipanggil polis susulan catatan blog yang disiarkannya, mengenai ramalannya mengenai kepimpinan dan keadaan politik Melayu di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang. – (BHOnline)
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!