BERITA UTAMA

EPISOD 16: Kenangan di bandar kelahiran (home town) Pak Long – Pekan Melayu, Sungai Petani, Kedah

BENARLAH seperti kata pepatah – tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Kita tidak dapat lari dari terikat dengan nostalgia bandar kelahiran kita – tempat kita dibesarkan, bermain dengan kawan-kawan dan bersekolah. Kita jarang lupa pada bandar kelahiran kita dan peristiwa sama ada pahit atau manis yang pernah kita lalui di situ kerana sejarah, pengalaman dan kenangan yang berlaku di situ akan sentiasa mengingatkan kita pada akar umbi kita. Lazimnya begitulah keadaannya.

Bandar kelahiran Pak Long ialah Sungai Petani, Kedah, sebuah bandar yang suatu waktu dulu dikelilingi oleh ladang-ladang getah. Kini bandar yang kaya dengan kehijauan itu kian menyusut menjadi kawasan perumahan dan gedung-gedung perniagaan. Dengan erti kata lain, ladang getah tidak lagi diperlukan berbanding dengan keperluan perumahan. Walaupun sedikit kecewa, Pak Long menerima perubahan ini sebagai ukuran betapa gagahnya kuasa dan betapa hebatnya pengaruh permintaan dan penawaran terhadap gunatanah kita.  Tanah datuk nenek kita bakal pupus didobrak oleh kuasa – dengan izin – ‘demand and supply’.  

‘Di situ’ memang kaya dengan happeningnya

Walaupun keseluruhan bandar dan kawasan-kawasan di sekitar bandar Sungai Petani telah pesat sekali ‘membangun’, terdapat sebuah kawasan di tengah-tengah bandar yang tidak pernah berubah sejak puluhan tahun yang lalu. Kawasan yang dimaksudkan ialah Pekan Melayu di Jalan Peteri. Sepanjang ingatan Pak Long sejak zaman dulu sehingga sekarang ini, di pinggir Pekan Melayu itulah terletaknya stesen bas loncat-loncat (stage bus); sebuah sudut bandar yang menyimpan pelbagai kenangan, termasuk yang agak lucu.

Salah satu kenangan mencuit hati ialah bayangan gelagat para pelajar belasan tahun, lengkap dengan pakaian seragam sekolah, begitu asyik sekali dilambung kerancakan dentuman lagu-lagu pop yeh-yeh lewat radiogram di kaki lima kedai. Seragam sesetengah pelajar memang agak berani dan menarik perhatian – ‘stoking’ (tentunya.. tak ada yang terlarang) kuning warnanya, kaki seluar sesendat-batang-paip-membungkus betis, sedikit singkat memang menarik perhatian Pak Long. Walaupun bell-botom memang trendy, namun pihak sekolah tidak membenarkan para pelajar memakainya.  Makanya, kaki seluar ala batang paip menjadi sesuatu yang biasa.

Kepada Pak Long salah satu lagi aspek ‘penting dan menarik’ Pekan Melayu ialah di situlah berdirinya Kedai Buku M. A. Ishak, agen tunggal buku DBP di Sungai Petani ketika itu. Itulah kedai buku tempat para pelajar dan ibu bapa mencari buku teks sekolah. Dan di situlah jugalah Pak Long bertemu dan berjinak-jinak dengan novel-novel Melayu keluaran Abas Bandung. Ketika itu, Toko buku Hasani masih lagi sebuah kios kecil di pinggir stesen bas. M.A. Ishak telah lama berkubur sementara bisnes Hasani terus berkembang dan dipelbagaikan.  

Antara kedai-kedai zaman silam yang masih lagi hidup di Pekan Melayu sekarang ialah kedai pakaian Man Bai dan  kedai songkok arwah Nawazir walaupun pengasasnya Man Bai dan Nawazir sudah tiada lagi. Anak arwah Nawazir, arwah Firman merupakan senior Pak Long semasa kami belajar dalam aliran Sains Tulen di Sekolah Menengah Ibrahim. Baru-baru ini semasa balik ke Sungai Petani, Pak Long sempat singgah sebentar di kedai songkok Nawazir untuk ‘mencari’ songkok raya, Bila bertanyakan anak-anak gadis yang bekerja di situ, terasa juga kecewanya – mereka tidak kenal siapa itu Nawazir atau anaknya Firman. Terlintas juga di kepala Pak Long, alangkah bagusnya jika potret pengasas kedai digantung di dinding kedai sebagai tanda ingatan.

Antara yang masih tersemat dalam ingatan Pak Long ialah sebuah kedai tukang gunting rambut milik arwah Kasim yang tinggal di Batu 2, Sungai Petani. Saban hari Pak Kasim mencari rezekinya dengan menggunting rambut pelbagai kaum dengan menguleti pelbagai stail rambut. Pak Long juga pelanggan setianya. Zaman dahulu stail rambut yang jadi trendy ialah ala Grease. Betulkah ala Greasenya John Travoltta? Pak Long agak-agak saja.

Selain kedai gunting rambut Pak Mat, warung laksa Penang juga jadi sebuah nostalgia buat Pak Long. Laksa yang dihidangkan panas dengan petis udang dalam sebuah mangkuk besar, diiringi aroma laksanya tak dapat Pak Long lupa. Berkecur mulut bila teringat betapa sedapnya laksa itu yang harganya cuma lima kupang waktu itu.

Pendek kata ‘di situ’ lah tempat happening untuk generasi Pak Long. Mungkin generasi hari ini tidak boleh memahami mahalnya kenangan itu.

Pekan Melayu, Sungai Petani, Kedah kekal sebagai titik daif sebuah bandar

Walaupun soalan-soalan seperti di bawah ini tidak wajar ditanya sebelum cerita dan latar belakang di sebalik cerita Pekan Melayu ini diselidiki terlebih dulu, Pak Long tetap ingin bertanya:

Apakah benar Pekan Melayu, Sungai Petani ini memang benar sebuah Pekan Melayu? Jika ‘Ya’, apakah para pejuang parti Melayu yang menguasai Malaya sejak merdeka tidak tercetus rasa ingin yang meluap-luap untuk membangunkan dan memajukan mercu tanda Melayu di sebuah bandar besar negeri Kedah ini?

Agaknya bagaimanakah nasib dan masa depan para pemilik, peniaga dan juga ‘rent-seekers’ (jika ada) Pekan Melayu satu hari nanti. Adakah satu hari nanti, ia juga tewas dengan rempuhan kuasa-kudrat bernama pembangunan. 

Di samping namanya – Pekan Melayu, songkok yang turut didagangkan di Pekan Melayu oleh arwah Nawazir adalah lambang/simbol penting sebuah bangsa, bangsa Melayu. Adakah parti politik Melayu tidak terkesan jika simbol Melayu seperti songkok ini pupus kerana tidak dipedulikan lagi. Mungkin juga peranan dan status songkok telahpun diambil alih oleh penutup kepala baru yang lebih trendy dan – tentunya lebih religius.

Pak Long tanyakan soalan-soalan seperti ini kerana ingin tahu juga apakah jawapannya.

* Masih wujud lagikah Pekan Melayu?

NDSeni&BudayaEpi1611April24

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *