SIBU – Kru kapal warganegara India yang dilaporkan terjatuh dari kapal di Batang Igan pada Khamis ditemui lemas hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, mayat mangsa, Jamwal Akash, 23, dijumpai oleh orang awam kira-kira lima kilometer ke hilir Batang Igan dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB).
Menurutnya, pasukan bomba dikerah ke lokasi penemuan dengan menggunakan sebuah bot aluminium dan disertai dua bot polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung di bawah jeti sebuah ladang ternakan pada jam 9.15 pagi,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Simpang Tiga Sibu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 11 pagi.
Pada Khamis lalu, saksi kejadian iaitu rakan sekerja mangsa telah ternampak mangsa terjatuh dari kapal berhampiran jeti Limbungan Kapal Gimhawk di Jalan Sungai Maaw dekat sini.
Saksi turut melihat mangsa terkapai-kapai di sungai dalam jarak 30 meter dari kapal tersebut.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili sebelum ini berkata, mangsa merupakan seorang kelasi kapal warganegara India di sebuah syarikat perkapalan yang berpangkalan di Sibu.
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!