Tidak wajar Dr. Akmal didakwa bawah Akta Hasutan – Zaid

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim tidak bersetuju Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh disiasat bawah Akta Hasutan.

Malah, katanya, beliau masih ingat kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa akta itu hanya perlu digunakan khas untuk melindungi Raja-raja.

Justeru, beliau meminta Peguam Negara meneliti semula pertuduhan bawah Akta Hasutan ke atas Dr. Akmal yang telah disoal siasat polis di IPD Kota Kinabalu, Sabah semalam dan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

“Saya setuju polis siasat Dr. Akmal, tetapi perlukan penelitian semula akta yang dikenakan kepadanya. Tolong jangan dakwa dia kerana menghasut.

“Perdana Menteri sebelum ini (2023) mengumumkan bahawa kerajaan hanya akan menggunakan hasutan untuk kesalahan terhadap Raja-raja.

“Kenyataan Anwar itu seolah mengesahkan Akta Hasutan dikhaskan untuk melindungi Raja-Raja. Mari kita berpegang kepada janji itu kerana kita perlu mengambil serius kata-kata PM,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Zaid yang juga seorang peguam, ada begitu banyak peruntukan dalam Kanun Keseksaan (KK) yang boleh digunakan kepada Dr Akmal seperti Seksyen 298A, Seksyen 503, Seksyen 504, Seksyen 505 dan sebagainya.

Beliau mahu semua pihak termasuk pihak berkuasa berpegang kepada janji kerajaan perpaduan, yang ketika menjadi pembangkang selama 25 tahun begitu lantang di jalanan mahu akta itu dimansuhkan.

“Undang-undang ini sebenarnya dikhususkan untuk memenjarakan mereka yang mahukan kemerdekaan untuk Tanah Melayu, tetapi Dr. Akmal tidak cuba menggulingkan kerajaan.

“Tidak menggunakan akta ini kepada Dr. Akmal menjadikan kerajaan kelihatan lebih baik dan agak progresif dan dengan tidak mendakwa Dr. Akmal di bawah Akta Hasutan, anda juga tidak mengangkatnya sebagai pejuang kemerdekaan,” katanya. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *