Pemimpin UMNO bidas kritikan Tajuddin

PETALING JAYA – Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno membidas dakwaan Tajuddin Abdul Rahman yang pemimpin parti itu mengalami ‘sindrom bisu’ kerana tidak berani bersuara dalam isu nasional.

Razlan Rafii sebaliknya mempersoalkan agenda bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang bersuara secara tiba-tiba selepas ‘hilang dari radar’ sejak digantung keahliannya lebih 18 bulan lalu.

Tegasnya, sebelum menuduh pemimpin Umno tidak bekerja keras untuk mengembalikan sokongan rakyat, Tajuddin sepatutnya membantu Presiden Zahid Hamidi apatah lagi beliau telah bersuara enggan meninggalkan parti.

“Berhubung tuduhan pemimpin Umno senyap, saya ingin bertanya kepada beliau siapakah yang bersuara dalam isu stoking tertera kalimah Allah? Parti manakah dalam kerajaan yang terus menyuarakan mengenai kepentingan Melayu dan Bumiputera?

“Contoh paling jelas kejayaan pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 adalah hasil cetusan dan pemikiran dari Umno yang serius memperjuangkan ekonomi bangsa,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Tajuddin mendakwa ‘sindrom bisu’ sedang melarat di kalangan ahli dan pemimpin Umno kerana tidak berani bersuara dalam isu nasional seperti masalah kos sara hidup dan ekonomi rakyat.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap masa depan Umno kerana pimpinannya disifatkan gagal mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti itu selepas berdepan kekalahan paling teruk pada PRU15.

Tajuddin, ahli politik kontroversi digantung keahlian selama enam tahun pada Oktober 2022 selepas beliau secara terbuka mengkritik Umno berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun tahun yang sama.

Beliau juga menggesa Zahid meletakkan jawatan selepas penyingkirannya. Namun rayuannya ditolak MKT pada 5 Jan tahun lalu. (Dipetik laporan FMT)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *