PASIR MAS – Pas dan Perikatan Nasional (PN) bersedia bila-bila masa masuk gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya enam kerusi Parlimen dari Parti Bersatu yang menyokong Perdana Menteri diisytiharkan kosong.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, secara asasnya enam kerusi Parlimen itu milik Parti Bersatu, tetapi ia tidak menghalang Pas membantu mempertahankan kerusi tersebut.
“Bagi kita tidak kira kerusi milik siapa, siapa yang akan bertanding sekali pun ia tidak menjadi isu memandangkan masih atas nama PN.
“Kita akan bekerja kuat dan kita juga bersedia sekiranya PRK itu berlaku,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal memberitahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan enam kerusi Ahli Parlimen yang menyokong pihak lain dikosongkan.
Pada Mac lalu, Bersatu telah meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Langkah serupa juga dijejaki ADUN Selat Klang di Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Ahli Parlimen yang beralih sokongan akan hilang segalanya kerana tidak layak lagi menjadi calon.
Bagaimanapun, Ahad lalu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dilapor berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN daripada parti itu diberi peluang menetapkan pendirian semula, sebelum tindakan pengguguran sebagai keahlian dilakukan. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!