KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) memandang serius isu video klip lagu raya Aliff Syukri yang tular baru-baru ini.
Video klip itu menimbulkan suasana kurang senang dalam kalangan masyarakat yang rata-rata tidak bersetuju dengan penghasilannya mengandungi kandungan kurang sopan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.
Menurut Exco Pemuda parti itu, Fadhli Umar Aminolhuda, pihaknya juga mengecam tindakan yang dikatakan sebagai “gurauan” itu kerana ia melampau dan tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan.
Kata beliau, kenyataan yang baru dibuat oleh Aliff Syukri itu menunjukkan beliau tidak peka dan memandang hal berkenaan secara remeh serta tidak mempunyai kesedaran berkaitan sensitiviti umat Islam di Malaysia.
“Kita cadangkan kerajaan memperkuatkan undang-undang berkaitan perlindungan sensitiviti agama.
“Aliff Syukri yang sudah pun didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) masih lagi berani mengeluarkan video klip seperti ini, jadi langkah undang-undang yang lebih tegas akan memberi isyarat jelas kepada mana-mana individu bahawa pelanggaran sensitiviti agama akan diambil tindakan dengan serius.
“Mendorong mereka untuk mengambil langkah yang proaktif dalam mencegah kejadian serupa di masa depan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Fadhli berkata, umat Islam digalakkan menyambut kedatangan Ramadan dan menghormatinya sebagai mana tetamu.
Ini, katanya, selaras dengan sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkah, di mana Allah mewajibkan kamu berpuasa, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu setan-setan. Padanya ada suatu malam yang nilainya lebih berharga dari seribu malam. (HR Ahmad, Nasa’iy dan Baihaqiy).
“Pemuda Amanah menyeru kepada semua umat Islam di Malaysia, dengan hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum Ramadan meninggalkan kita untuk lebih fokus melipatgandakan ibadah dan bersama-sama menjaga keberkatan bulan barakah ini dari perkara negatif,” katanya. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!