BERITA UTAMA

Guna wang zakat bayar bonus, MUIS sedia disiasat

KOTA KINABALU – Dituduh menyalahgunakan wang zakat, Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) bersedia berdepan dengan siasatan pihak berkuasa, bagi membersihkan imejnya yang tercalar.

Yang Dipertuanya, Datuk Yahya Hussin berkata, pihaknya sentiasa bersedia dengan sebarang proses siasatan apabila dituduh menyalahgunakan wang zakat untuk membayar bonus kakitangannya.

“Kita bersedia disiasat oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi memastikan imej dan integriti MUIS dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa ada sebarang unsur salah guna kuasa seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan, di sini, yang dipetik laporan dari Berita Harian.

Sebelum ini, tular dakwaan menyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUIS membuat arahan pembayaran bonus kakitangan dengan menggunakan Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.

Turut disebarkan ialah tuduhan yang mendakwa CEO itu mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) sebanyak RM14 juta, tanpa proses kelulusan.

Bagaimanapun, MUIS menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah yang dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan imej badan Islam berkenaan.

Sementara itu, Yahya berkata, bagi menjaga nama baik MUIS, pihaknya mengambil tindakan balas dengan menghantar Surat Tuntutan Peguam kepada penyebar tuduhan terbabit, semalam.

“MUIS antara lain menuntut suatu permohonan maaf secara terbuka kepada pihak MUIS dalam tempoh 24 jam, yang mana sekiranya gagal dibuat, saman akan difailkan serta-merta terhadap penyebar tuduhan bagi menuntut keadilan,” katanya.

Selain itu, katanya, MUIS juga membuat satu laporan polis pada 28 Mac lalu berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap badan berkenaan.

Katanya, laporan polis itu dibuat agar siasatan dijalankan kerana tuduhan yang dilemparkan ke atas MUIS adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata.

“Untuk rekod, pembahagian wang zakat untuk tahun 2023 menunjukkan jumlah kutipan wang zakat iaitu sebanyak RM141,181,101.74 telah dibahagikan kepada golongan asnaf seramai 91,060 orang.

“Asnaf penerima terdiri daripada golongan Fakir (41.1 peratus), Fisabilillah (17.9 peratus), al-Riqab (17.6 peratus), golongan Miskin (11.1 peratus), Amil (sembilan peratus), Muallaf (2.8 peratus), al-Gharimin (0.3 peratus) dan Ibnu Sabil (0.2 peratus),” katanya.

Semalam, menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif turut menekankan semua wang zakat diagihkan kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya setiap tahun.

“Jadi, jangan risau, lagipun Bahagian Zakat sentiasa diaudit dan dipantau, kalau ragu-ragu boleh rujuk kepada MUIS dan insya-Allah kita sentiasa memberi perhatian mendalam terhadap integriti di MUIS, tiada isu zakat diseleweng, insya-Allah,” katanya.

Katanya, setakat ini laporan audit terhadap MUIS juga mencatat rekod bersih dan beliau sendiri menjadi saksi penerimaan laporan itu di Kuala Lumpur. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *