BERITA UTAMA

Annuar Musa sedia dicalonkan PRK

BUKIT MERTAJAM – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa akan mempertimbangkan secara serius jika mendapat pelawaan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen yang berkemungkinan bakal dikosongkan susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tidak akan sesekali melobi untuk dirinya dicalonkan kerana bertentangan prinsip serta amalannya.

“Saya (sebelum ini) berkhidmat selama lapan penggal (sebagai Ahli Parlimen) yang saya rasa (tempoh) itu sudah mencukupi, tetapi jika rakyat masih percayakan saya dan mahukan saya bertanding sebagai calon, saya akan mempertimbangkan secara serius.

“Tetapi untuk ke depan (melobi) dan memaksa diri untuk (dicalon atau bertanding) itu bukan cara saya.

“Saya, walaupun tanpa kedudukan politik (sekalipun) masih boleh menyumbang (kepada rakyat) dalam pelbagai cara,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan kembali semula ke pentas politik dengan menjadi calon sekiranya enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang melompat parti dikosongkan seterusnya membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Annuar ditemui pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa bersama ahli serta kepemimpinan MN Zon Utara di sebuah kafe, di sini, malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menjadi ahli Pas pada 10 Jun tahun lalu selepas dipecat UMNO yang disertainya sejak 1979.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan Perkara 10 Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ia dilakukan selepas enam Ahli Parlimen Bersatu didapati mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang), turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Annuar berkata, beliau masih meletakkan harapan UMNO dapat kembali bersama PAS dan BERSATU bagi membentuk pakatan dalam kalangan orang-orang Melayu serta Islam. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *