KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh tidak bersetuju, malah mengecam sekeras-kerasnya insiden membaling bom petrol ke kedai serbaneka, KK Mart di Jalan Bruseh, Ipoh semalam.
Katanya, orang ramai perlu menghormati proses undang-undang dan tidak melakukan perbuatan yang berbentuk ancaman.
“Saya dan Pemuda UMNO tidak setuju dengan perbuatan mengancam seperti membaling bom petrol,” katanya ringkas menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Dalam kejadian semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu mendapati, sebuah kereta berwarna gelap mempunyai pelekat warna merah ‘Lalamove’, berhenti di tepi jalan kira-kira jam 5.35 pagi.
Katanya, seorang lelaki (suspek) turun dari kereta itu dan membaling sesuatu dipercayai botol kaca berisi minyak tanah ke dalam kedai, lalu terus beredar dari tempat kejadian.
Kejadian itu disedari kakitangan kedai serbaneka berkenaan dan polis menerima laporan daripada pengadu yang juga wanita warga tempatan berhubung kejadian pada jam 8.49 pagi.
Mengulas lanjut, Dr. Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menyeru orang ramai untuk terus memboikot kedai serbaneka tersebut.
Beliau juga mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengugut bunuh ke atasnya susulan kelantangannya menggesa kempen boikot itu dilakukan di seluruh negara.
“Ini bagi memberikan pengajaran yang hebat kepada mereka dan mana-mana pihak yang hendak menghina agama Islam pada masa hadapan,” katanya.
Semalam, Dr. Akmal mendakwa menerima satu ugutan bunuh kerana lantang meminta orang ramai memboikot KK Mart akibat penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Mengulas lanjut, beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bersalah. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!