BERITA UTAMA

Safee Sali, Fitria sah cerai talak dua

KUALA SELANGOR – Konflik rumah tangga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali dan isterinya terlerai apabila mereka sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Hakim Syarie Mohd. Fakhrurrazi Mahammad memutuskan demikian dalam prosiding pengesahan lafaz cerai selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.

Fitria Elfina Maharip , 44, selaku plaintif berkata, dia menerima dua lafaz cerai menerusi pesanan suara yang dihantar Safee, 40, menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Februari lalu.

“Pesanan secara berasingan itu dihantar ke telefon bimbit anak kami kerana telefon saya sudah dirampas.

“Lafaz itu adalah ‘saya lepaskan awak dan saya ceraikan awak’ dan ‘sekali lagi saya ikhlas saya ceraikan awak’. Pada waktu itu, saya dalam keadaan suci dan tidak mengandung,” katanya pada prosiding itu.

Sementara itu, Safee memaklumkan dirinya dengan niat jelas dan terang hati melafazkan cerai berkenaan sebelum ini.

“Saya ketika itu dalam keadaan tenang dan berfikiran waras tanpa dipengaruhi oleh sesiapa yang memaksa melafazkan talak berkenaan.

“Kata-kata perceraian itu dibuat lebih daripada sekali supaya ‘terang’ dan saya turut menghantar pesanan suara itu kepada abang ipar yang juga wali bekas isteri,” katanya.

Mohd. Fakhrurrazi dalam penghakimanya berkata, mahkamah mengesahkan penceraian itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

“Dua lafaz talak yang dibuat defendan pada pukul 12.57 tengah hari dan 1.01 petang di luar mahkamah sebelum ini adalah sah,” katanya.

Safee selaku defendan diwakili peguam Syarie, Ahmad Nazib Johari manakala peguam Syarie, Fauzan Ziman Hassan mewakili Fitria Elfina.

Dalam mahkamah berasingan, sebutan semula kes tuntutan nusyuz oleh Safee sebelum ini ditetapkan pada 30 April depan.

Kosmo pada 18 Mac lalu melaporkan Fitria Elfina mendakwa mentalnya didera selama setahun dan pemfailan nusyuz dibuat atas dakwaan dia meninggalkan dua anak dengan pulang ke Batam, Indonesia.

Pergolakkan rumah tangga pasangan itu bermula apabila berlaku perubahan termasuk Safee tidak membenarkan panggilan video dibuat kepadanya.

Bekas penyerang JDT itu kemudian didakwa sudah berkahwin baharu dengan seorang wanita secara sembunyi di Siam pada 26 Januari lalu.

Terdahulu, Fitria Elfina turut memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan mendedahkan sudah lebih sebulan tidak menemui dua anak selepas diambil Safee ketika ketiadaannya di rumah. -KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *