BERITA UTAMA

Guru didakwa perdagang wanita untuk eksploitasi seks

KUALA TERENGGANU – Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan aktiviti eksploitasi seks pada 11 Mac lalu.

Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri. 

BERNAMA melaporkan, seorang lagi tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, bagaimanapun mengaku bersalah selepas tiga kali menukar pengakuan. 

Kedua-dua mereka didakwa memperdagangkan mangsa berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar di sini pada jam 2.35 pagi 11 Mac lalu. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Pasukan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris dan Iffah Nabihah Mohd Ishak tidak menawarkan jaminan kepada kedua mereka kerana kes selepas ini akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen 3, dan memohon suatu tarikh untuk sebutan semula kes. 

Mohd Hasfyanizam yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar dibenarkan ikat jamin dan tidak dikenakan reman atas alasan mempunyai tanggungan terhadap keluarganya termasuk ibu dan mentuanya. 

Bapa kepada tiga anak itu juga memberi jaminan akan bekerjasama segala proses perbicaraan dan tidak akan melarikan diri memandangkan tugasnya sebagai penjawat awam. 

Hakim Nazlyza kemudiannya mengarahkan tertuduh direman sehingga 31 Mac ini untuk sebutan semula kes dan meminta Mohd Hasfyanizam mendapatkan peguam bagi mewakilinya untuk tujuan permohonan jaminan.

Beliau turut menetapkan tarikh sama bagi penentuan hukuman ke atas Mohamad Fazley. – NasionalDaily

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *