BERITA UTAMA

Anwar, pemimpin pertama ucap tahniah kemenangan Prabowo

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pertama Asia dan dunia menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Terpilih Republik Indonesia, Prabowo Subianto.

Beliau yang menghubungi Prabowo semalam, bagi menyampaikan salam tahniah atas kejayaannya dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baharu selesai.

“Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia, Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah di atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai.

“Saya dimaklumkan, saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi PEMILU sebentar tadi.

“Ini cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, malam tadi.

Semalam, media melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo Subianto dipilih sebagai presiden menewaskan dua pesaingnya yang kini berikrar untuk memfailkan aduan undang-undang mengenai undian itu.

Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari berkata, Prabowo yang juga Menteri Pertahanan dan gandingannya selaku naib presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dan cukup untuk memperoleh majoriti pusingan pertama.

Dua pencabarnya iaitu Anies Baswedan pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus.

Prabowo dan Gibran yang juga anak sulung kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo sudah diisytihar menang bulan lalu selepas kiraan tidak rasmi menunjukkan mereka memenangi majoriti.

Anwar turut mengucapkan selamat maju jaya dan menyatakan keyakinan kepada Prabowo dapat menggalas mandat diberikan dengan cemerlang demi kemajuan berterusan dan kemakmuran Indonesia.

“Kedua-dua kami bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala yang mencakup pelbagai aspek sebagai negara jiran dan berikrar bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutama dalam ruang lingkup ASEAN,” katanya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *